BANGI, 9 Jun – “Tatkala kita semua rungsing dan sangsi dengan masalah ratusan ribu pelancung asing terutamanya dari Tanah Besar China yang tidak kembali pulang ke negara mereka, pemimpin MCA dengan beraninya menggesa kerajaan untuk benarkan rakan bisnes pelancongan dengan China dan ASEAN terutamanya Vietnam dan Thailand masuk ke Malaysia,” kata Dr. Zainur Rashid Zainuddin ketika dihubungi.
Bagi Naib Presiden Isma, gesaan ini tidak patut dilakukan di saat Malaysia masih lagi berdepan dengan virus Covid-19 dan Malaysia belum pulih ke tahap yang lebih selamat di samping, ribuan pelancong China yang sedia ada di Malaysia masih ‘hilang’ di sini.
“Siapakah yang akan pastikan ratusan ribu pelancong China yang sedia ada di Malaysia pulang ke China sebelum puluhan atau ratusan ribu yang lain berkunjung ke Malaysia,” katanya yang juga doktor pakar.
Pada masa yang sama, beliau menegur agar pemimpin politik terutamanya orang Melayu supaya berpolitik secara professional dan mendahului agenda agama, bangsa dan negara.
Ujarnya, MCA, Gerakan dan DAP MCA, Gerakan dan DAP adalah parti politik yang berbeza tetapi mempunyai kesamaan terhadap agenda bangsa, bahasa, ekonomi dan masa depan politik bangsa Cina di Malaysia.
”Walau pun MCA hanya mempunyai dua orang ahli Parlimen dalam kerajaan Pakatan Nasional (PN) sekarang, namun suaranya vokal dan sentiasa memperjuangkan agenda yang menguntungkan mereka bersama.
Beberapa hari lalu Presiden Persatuan Jalur dan Laluan Malaysia Datuk Seri Chuah Poh Khiang menggesa kerajaan untuk membuka laluan kepada pelancong China dan negara Asean ke Malaysia.