Oleh : Izzat Jo
“Dear Santa, Can I Have A Red Car”
Pernah dengar tak ayat ni “Apa salahnya sambut krismas? Pakai topi santa je kot, bukan buat apa. Sekarang kan dah moden kau ni kolot sangat!
Cabaran membesarkan anak sebagai seorang muslim di negara Barat bukan satu tugas yang mudah.
Di sekolah mereka tidak diajarkan tentang Islam, tiada waktu untuk solat bersama, tiada bacaan doa ketika mula kelas, bahkan ucapan Assalamualaikum juga tiada bila bertegur sapa.
Ucapannya hanyalah Good Morning apabila tiba di sekolah dan Bye bila pulang.
Di sini tiada siapa yang boleh diharapkan untuk mendidik anak seorang muslim tentang Islam melainkan ibu bapa mereka sendiri.
Ni kisah tentang anak sulung saya yang sekarang sedang bersekolah di UK. Tahun ini dia berada di kelas Reception. Kalau di Malaysia macam tadika 6 tahun.
Banyak aktiviti yang sekolah buat. Dekat sini pergi sekolah satu buku atau pensil pon tak perlu bawa sebab semuanya disediakan di sekolah. Pergi sekolah cukup bawa diri dan bekal makanan, kalau tak ambil makanan yang disediakan oleh sekolah.
Banyak aktiviti dibuat setiap hari, ada je lukisan atau tampalan kolaj dibawa balik ke rumah. Sekarang dah masuk musim krismas, antara aktiviti dibuat mestilah bertemakan krismas.
Baru-baru ni masa ambil Khawlah dari sekolah terkejut sekejap bila dia tunjukkan kolaj Santa Klaus. Siap ada tulis wish krismas dia “I want a red car, Love Khawlah” Tapi sebelum tegur saya puji dulu “Pandai Khawlah buat, cantik, siapa yang ajar tulis?”.
Selepas itu saya terus bercerita tentang Santa Klaus, apa kaitannya dengan agama Kristian dan kenapa sebagai seorang muslim tidak boleh menyambut krismas. Krismas itu adalah perayaan agama Kristian maka ia tidak dibenarkan di dalam Islam. Ada beberapa hari juga balik rumah nyanyi lagu krismas. Terpaksalah counter balik bagi tengok Omar Hana banyak-banyak biar dia lupa.
Aqidah seorang muslim tu amat-amat berharga dan ia adalah segala-galanya. Prinsipnya mudah tiada campur aduk dengan aqidah selain Islam.
Sebab itu kita pernah dengar kisah Rasulullah saw marah Saidina Umar yang dilihat membawa helaian dari kitab Taurat.
Baginda marah lalu menegur Umar:
“Apakah engkau terpesona dengannya wahai (Umar) Ibn al-Khattab?… Demi jiwaku yang berada ditanganNya, sesungguhnya sekiranya Musa masih hidup, maka dia akan mengikuti aku.” (HR Ahmad, al-Nasa’i).
Bayangkan yang Rasulullah saw tegur itu adalah Saidina Umar bukannya seorang muslim biasa. Beliau adalah khalifah ke-2 bagi umat Islam. Apakah iman Saidina Umar terlalu lemah sehingga membaca Taurat pun dilarang oleh Rasulullah?
Ini yang kita kena perhatikan, Rasulullah SAW amat tegas dalam perkara yang berkait dengan aqidah Islam. Apa saja tindakan yang boleh meragukan seorang muslim dari Islam perlu dijauhkan.
Apatah lagi anak-anak yang masih kecil. Mereka baru hendak belajar mengenal tuhan. Baru hendak belajar mengenal nabi dan rasulnya. Mereka tidak tahu mana satu yang benar dan mana satu yang tidak.
Sebab itu setiap kali Khawlah balik dari sekolah saya mesti akan semak apa yang dia belajar di sekolah hari itu dan apa yang dibuat.
Kalau tidak bercanggah dengan aqidah Islam saya biarkan. Jika ia bercanggah maka saya betulkan. Sudah pasti bukan mudah nak menerangkan kepada anak kecil tentang perkara aqidah.
Sebab itu janganlah kita normalisasikan anak-anak kita bahkan diri kita sendiri dengan perkara bercanggah dengan Islam. Jika tidak jadilah seperti kes berkahwin dengan upacara agama lain di kuil.
Anak-anak ini mereka ibarat kain putih yang suci dan bersih, ibu bapalah yang bertanggungjawab mewarnakan dan mencorakkannya.
Janganlah mencairkan aqidah kita sebagai seorang muslim hanya kerana hendak diterima oleh segelintir manusia. Kerana akhirnya Allah SWT sahaja yang akan menghisab segala perbuatan kita di dunia, tiada satu makhluk pon mampu membantu.