Dedahkan pendidikan seksualiti kepada anak-anak, elak Seks Bebas

Dalam era globalisasi ini, seks dalam kalangan remaja semakin membimbangkan. Institut Kesihatan Umum telah menjalankan kajian terhadap 27,497 pelajar daripada 212 buah sekolah di seluruh negara. Laporan yang dikeluarkan amat membimbangkan, 31.9% daripada pelajar sekolah menengah ini telah mempunyai pengalaman seks (sexual experience) sebelum berusia 14 tahun.

Malah pelajar tingkatan satu dikatakan mempunyai bilangan paling ramai dalam percubaan untuk mengadakan hubungan seks iaitu sejumlah 9% daripada jumlah survey ini. Pahang diletakkan sebagai negeri yang merekodkan jumlah tertinggi bagi remaja yang pernah melakukan hubungan seks (9.5%), manakala Kuala Lumpur mencatatkan bilangan terendah (4.3%). Dapatan ini juga menunjukkan sebanyak 16.6% peratus daripada remaja ini pernah mengadakan hubungan seks dengan lebih dari seorang.

Bilangan angka menakutkan apabila dianggarkan seramai enam kanak-kanak dan remaja menjadi mangsa jenayah seksual setiap hari di negara ini sejak tiga tahun lalu. Malah golongan remaja serta kanak-kanak lelaki tidak terkecuali menjadi mangsa utama jenayah ini. Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merekodkan sebanyak 6,897 kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan remaja bagi tempoh tiga tahun iaitu antara 2018 hingga 2020.

Data polis mendapati pelbagai aplikasi media sosial digunakan remaja serta kanak-kanak antaranya WhatsApp, WeChat, Instagram, Facebook, MiChat, Telegram, Bigo, Messenger, BeeTalk, TikTok dan Twitter menyumbang kepada perlakuan jenayah seksual ini. Situasi ini semakin membimbangkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila pergerakan kanak-kanak ini terhad dan mereka mempunyai banyak masa lapang untuk melayari internet.

Kajian dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula mendapati mereka yang mempunyai teman lelaki atau wanita, kurang berminat dengan sekolah, sejarah penderaan fizikal atau seksual, kurang pengawasan ibu bapa dan mereka yang terlibat dalam penggunaan arak dan dadah lebih berisiko untuk terlibat di dalam aktiviti seks bebas.

Sebagaimana kita maklum, pendidikan anak-anak bermula dari rumah, bimbingan dan tunjuk ajar ibubapa tentang pendidikan seksualiti, pergaulan bebas amatlah penting. Konsep ‘Allah Melihat Kamu, Allah Mendengar Kamu, Allah Hampir Dengan Kamu’ wajib diterapkan ke dalam jiwa anak-anak seawal mungkin di dalam fasa tumbesaran mereka.

Konsep ini sekiranya dipasak di dalam jiwa anak-anak, akan menjadi senjata yang ampuh yang akan menjadi benteng penghalang dari terjebak di dalam perkara atau aktiviti yang terlarang. Sesungguhnya ibubapa tidak dapat mengawasi anak-anak sepanjang masa, tetapi penyediaan jiwa anak-anak yang takut kepada Allah akan menjadikan mereka insan yang sentiasa terpelihara dari perkara-perkara maksiat.

Di samping itu, anak-anak juga perlu diberi perhatian dan diisi masa mereka dengan aktiviti yang berfaedah supaya mereka tidak terjebak dengan aktiviti yang tidak sihat. Terdapat banyak aktiviti bermanfaat yang boleh anak-anak lakukan bagi membina kemahiran dan jati diri mereka seperti menyertai kelab-kelab remaja, kelab reka cipta ,kelab seni lukis dan sebagainya.

Moga Allah memberi kita petunjuk dan hidayah di dalam memikul amanah mendidik anak-anak yang bakal mewarisi kepimpinan negara.

Dr Nur Asyikin binti Solehan
Biro Keluarga dan Masyarakat ISMA
Cawangan Seremban

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

1 thought on “Dedahkan pendidikan seksualiti kepada anak-anak, elak Seks Bebas”

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat