Di mana Punca Rezeki Kita?

Sahabat-sahabat semua pastinya akan kabur untuk menjawab soalan ini, bukan?

Keliru untuk mencari jawapan yang tepat sama ada punca rezeki kita dari gaji atau dari keuntungan bisnes atau dari pemasaran yang melampau untuk menaikkan ‘rating’ produk?

Jika itu jawapannya, dalam minda kita tentulah hanya berpaksikan wang dan material semata. Sedangkan rezeki itu luas sifatnya.

Bahagia adalah rezeki. Ketenangan adalah rezeki dan mempunyai keluarga, sahabat handai yang baik juga rezeki.

Jadi, di mana punca rezeki kita?

Semua makhluk di dunia ini tahu di mana punca rezeki mereka. Lembu, rezekinya pada rumput dan lalang. Ikan, rezekinya pada terumbu karang di laut. Tetapi bagi makhluk yang bernama manusia, hanya segelintir sahaja yang memahami punca rezeki mereka.

Sebenarnya, punca rezeki manusia adalah pada membahagiakan dan memuliakan.

Jika kita mampu membahagiakan dan memuliakan semua orang di dalam dunia ini, kita akan memperoleh punca rezeki yang tidak pernah putus. Bagaimana?

Jangan mudah menghukum orang disekeliling kita meskipun mereka seorang gay atau perosak masyarakat.

Kita perlu pandang diri kita. Bagaimana cara kita merespon kepada golongan manusia yang sangat kita tidak suka.

Marah bukan pada lidah tetapi nasihat terus kepada mereka. Bawa mereka kepada kemuliaan agama. Jika tidak kuat, tahan lidah dari mengucapkan perkataan yang buruk. Semuanya ini merupakan ajaran nabi kita dan salafussoleh.

Andai kita marah melihat kes korupsi 2.6 bilion, lalu kita keluarkan kata-kata kesat terhadap penjenayah rasuah, pemakan duit rakyat. Maka, kita telah menghancurkan punca rezeki kita sendiri.

Penjenayah tersebut? Tetap kaya dan boleh menyelamatkan diri melalui perbicaraan dan sebagainya.
Dan kita pula? Bankrap dengan sikap dan kata-kata negatif yang keluar dari lidah mahupun papan kekunci telefon bimbit kita.

Ikan yang menghancurkan punca rezeki di terumbu karang merupakan ikan yang tidak bijak. Lalu, bagaimana pula dengan manusia yang berakal tetapi menghancurkan punca rezeki mereka? Bukankah itu lebih tidak bijak dan tidak berakal dari ikan tadi?

Justeru, kita pilih yang mana? Jadi manusia yang membahagiakan dan memuliakan atau jadi manusia yang menghancurkan punca rezeki sendiri?

Berfikirlah dengan minda dan hati.

Bukan ikut sedap lidah mencaci maki.

Berubah untuk menjadi magnet rezeki, yuk!

Nurul Hajjar Atan
Aktivis Isma Johor Bahru
Jawatankuasa Pembina Johor Bahru

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat