Mungkin ramai orang pernah mendengar tentang kajian psikologi terkenal “Marshmallow Test” yang dijalankan sejak tahun 1972 di mana anak-anak kecil diberikan pilihan untuk menerima sebiji marshmallow atau menunggu dalam satu tempoh masa (delay of gratification task), untuk mendapatkan habuan berganda iaitu 2 biji marshmallow.
Dapatan kajian ini menunjukkan perkaitan yang berkait langsung dengan banyak aspek positif pada anak-anak yang menunggu sedikit masa untuk habuan yang lebih besar (memiliki kawalan diri yang baik atau “good self control”), antaranya dikaitkan dengan prestasi akademik yang lebih cemerlang dan dijangkakan akan lebih berjaya dalam kehidupan bila meningkat usia. (Memang ada banyak kajian-kajian lain yang menolak/mengkritik kajian ini tapi saya tak bincangkan di sini).
Kajian terbaru yang diterbitkan bulan Ogos 2020 lepas oleh sekumpulan penyelidik dari China dengan kerjasama penyelidik dari Universiti of California cuba untuk memahami apakah terdapat faktor tertentu yang boleh menjadi daya tolak kepada “good self control” ini yang dikatakan menjadi faktor penting kepada kejayaan di masa hadapan.
Dalam kajian ini, seramai 273 orang kanak-kanak dalam lingkungan usia 3 – 4 tahun didedahkan dengan “delay gratification task” ini tetapi kajian ini menambah satu lagi kondisi kajian iaitu reputasi. Dalam kondisi reputasi ini, anak-anak dibahagikan kepada 3 kumpulan: 1) “teacher” iaitu bilamana reputasi mereka (mampu tunggu atau tidak) dimaklumkan kepada guru, 2) “peer” iaitu bilamana reputasi mereka dimaklumkan kepada rakan-rakan sebaya atau 3) “control” iaitu tiada sebarang pemakluman.
Kajian ini mengejutkan para penyelidik kerana dalam fikiran mereka kanak-kanak seawal usia ini terlalu muda untuk menghiraukan pandangan orang lain terhadap mereka. Sangkaan mereka meleset kerana anak-anak dalam kumpulan “teacher” dan “peer” menunjukkan kemampuan untuk menunggu lebih lama untuk mendapatkan marshmallow berbanding kumpulan “control”.
Prestasi dua kali ganda dalam kumpulan “teacher” berbanding “peer” turut direkodkan; menunjukkan betapa kanak-kanak amat mementingkan reputasi di hadapan guru mereka. Sekarang baru kita faham kenapa anak-anak terutamanya di usia taska sangat cintakan guru-guru dan amat bermotivasi sekiranya diberikan tugasan/penghargaan.
Ada begitu banyak aspek boleh dibincangkan serta dihuraikan secara lanjut, tetapi perkara pertama yang hadir di kotak minda saya ialah betapa pentingnya peranan seorang pendidik (murabbi) dalam kehidupan manusia, terutama sejak di awal usia.
Perkara ini telah lama dibuktikan dalam sejarah Islam, antaranya bagaimana Sultan Muhammad Al-Fateh mampu membuka Konstantinopel dalam usia yang sangat muda dan dengan kisah yang penuh keajaiban. Kita sedar bahawa peranan guru-gurunya khususnya Syeikh Samsuddin sedari usia kecilnya adalah amat penting dalam menolak motivasi diri dan membawa kepada kejayaan luar biasa ini.
Perkara kedua yang dapat kita insafi daripada kajian ini adalah bagaimana rakan-rakan sebaya turut memberikan impak kepada anak-anak dan menolak mereka untuk bersabar dalam sesuatu perkara bagi meraih kejayaan yang lebih besar.
Bagi ibubapa yang ada anak-anak kecil dan memasuki pusat asuhan atau taska, kita mungkin dapat lihat perbezaan dalam diri anak-anak setelah ke pusat asuhan berbanding hanya duduk di rumah bersama ibubapa, dan mungkin ini antara jawapan kepada perubahan sikap tersebut. Biah yang solehah pastinya melengkapkan lagi persekitaran anak-anak dan membantu melonjakkan lagi potensi dalamannya.
Perkara terakhir yang bermain di ruang legar minda saya ialah, satu persoalan yang boleh dilanjutkan kepada kajian seterusnya iaitu, bagaimanakah impak kepercayaan terhadap Tuhan atau pegangan agama mampu mempengaruhi prestasi “delay gratification task” ini?
Sekiranya di awal usia kehidupan, manusia mampu ditala dengan pengaruh menjaga reputasi di hadapan manusia lain (menurut kajian terbaru ini), adakah manusia juga akan ada kemampuan untuk beraksi dengan jauh lebih cemerlang sekiranya mereka diberikan kefahaman terhadap kuasa yang lebih tinggi melepasi batas alam semesta, yang lebih besar dan lebih hebat berbanding “teacher” dan “peer” yang sentiasa mengawas kehidupan mereka?
Kuasa ini tidak lain dan tidak bukan semestinya merujuk kepada Allah swt, Tuhan semesta alam! Sekiranya persoalan ini dapat dirungkai, ianya akan membuka satu lagi kunci utama kepada rahsia kehidupan dan jawapan kepada persoalan mengapa di dalam pendidikan awal anak-anak muslim (tarbiyatul aulad), ibubapa diseru untuk menanamkan kefahaman aqidah (kepercayaan kepada Allah dan perkara ghaib) sebagai satu keutamaan berbanding ilmu yang lain.
Sekiranya kita sebagai seorang Muslim, mampu menemukan kunci kepada rahsia kehidupan ini, nescaya kita dapat mengembalikan manusia kepada peradabannya yang tertinggi. Sayangnya, kita masih jauh ketinggalan di belakang…meskipun hanya untuk menawarkan sebiji marshmallow!
Rujukan:
1. Fengling Ma, Dan Zeng, Fen Xu, Brian J. Compton, Gail D. Heyman. Delay of Gratification as Reputation Management. Psychological Science, 2020; 095679762093994 DOI: 10.1177/0956797620939940