TIDAK cukup dengan siri-siri pencerobohan tanah di Raub, Rompin, Jengka, Maran, Lanchang dan sebagainya di Pahang, hari ini media melaporkan satu lagi pencerobohan iaitu di daerah Lipis, Pahang. Kali ini pencerobohan dilakukan oleh pelombong emas haram.
Pencerobohan ini berlaku di daerah Lipis, di Hutan Simpan Ulu Jelai, Mukim Batu Yon menurut laporan berita di mana ianya dikesan oleh Pejabat Hutan Daerah. Namun, dilaporkan bahawa pelombong-pelombong lesap ketika operasi meninggalkan jentera dan jentolak besar di sana.
Sebenarnya, kes pencerobohan bagi tujuan perlombongan emas secara haram di hutan ini bukannya kali pertama tetapi sudah berkali-kali tetapi serbuan demi serbuan seolah-olah kerja sia-sia sahaja.
Tahun 2020 sahaja, dilaporkan sebanyak 5 kes serbuan diadakan di hutan yang sama. Ini sungguh tidak masuk akal. Pada setiap kali serbuan, dilaporkan pihak berkuasa menyita jentera dan jentolak besar serta alat-alat cari gali.
Jentera, jentolak dan alat-alat carigali bukanlah murah. Dan operasi carigali dengan skala sebegini bukannya boleh dilakukan oleh orang sebarangan tetapi ianya pasti dilakukan oleh syarikat yang besar.
Maka timbul beberapa persoalan di sini:
i. Jika ini dilakukan penceroboh yang sama, apakah penceroboh tersebut terlalu kaya raya sehingga mampu beli jentera-jentera baru, sebanyak 5 kali?
ii. Jika ini dilakukan oleh penceroboh yang berlainan, apakah di daerah Lipis ini terlalu ramai penceroboh yang pandai melombong emas? Ini baru di Lipis, berapa ramai di seluruh Pahang pula?
iii. Sudah 5 kali serbuan dan ada beberapa tangkapan sebelum ini, mengapa identiti syarikat atau ‘taukeh’ masih tidak diketahui?
iv. Apakah ada ‘deal’ dengan pihak-pihak tertentu yang mempunyai kuasa?
Menjarah hasil secara haram di tanah milik kerajaan adalah satu pencurian harta rakyat. Penceroboh dan segala dalangnya ini perlu dijejak, didenda dan dihukum dengan hukuman yang setimpal. Inilah dimaksudkan dalam lirik lagu Anak Kecil Main api; “hasil mengalir ke tangan yang lain”.
Aminuddin Yahaya
Presiden ISMA / Pengerusi PEMBELA
2 Februari 2021