Setiap rakyat Malaysia mahukan kehidupan yang baik. Secara idealnya, masing-masing mahukan kemajuan dan pencapaian jiwa dan material yang tinggi. Islam memberikan kebebasan dan jaminan hak setiap insan untuk mencapai hayah toyyibah ( sebuah kehidupan yang baik) .
Hayah toyyibah dapat dicapai dengan kesatuan dan keharmonian apabila semua sumber, baik sumber manusia, kekayaan, masa dan keamanan, dapat digembeling bukan untuk meleraikan konflik, tetapi untuk mencapai hasil yang menambah nilai.
Keharmonian sosial adalah situasi tanpa konflik dan rasa kebersamaan yang stabil. Tetapi suasana harmoni tidak bermaksud rakyat sudah bersatu dan ini adalah barah yang mesti kita elak dari berlaku. Ia mampu menjadi bom jangka apabila keharmonian yang dirasai ini sebenarnya hanya di permukaan tetapi tidak mengakar, tidak jujur dan tidak telus ke dasar hati setiap kaum.
Menyatukan rakyat bermula dengan etos dan identiti yang mengakar. “National interest” atau kepentingan nasional yang besar bagi Malaysia adalah membangun identiti yang membawa kesatuan. Etos dan identiti nasional adalah punca kuasa kepada kesatuan dan perpaduan rakyat Malaysia.
Malaysia sepatutnya memanfaatkan posisinya untuk menjadi pewaris tunggal identiti Melayu-Islam ini. Rekod sejarah kepulauan Melayu (Malay Archipelago) sepatutnya diambil manfaat sebagai asas kepada pembangunan Keperibadian Nasional Melayu.
Polisi Budaya Nasional (National Culture Policy, NCP) yang diperkenalkan pasca peristiwa 13 Mei 1969, berpegang dengan tiga tiang utama iaitu teras kebudayaan adalah Melayu, sedia menerima budaya lain yang bersesuaian dan meletakkan Islam sebagai satu komponen penting dalam budaya. Polisi ini bahkan bertepatan dengan etos bangsa asal di Malaysia ini yang telah sebati antara Melayu dan Islam.
Malangnya, adaptasi identiti barat semenjak kemerdekaan 1957 telah menyebabkan Malaysia keliru identiti apabila majoriti rakyatnya yang berbangsa Melayu, diarah kepada identiti barat yang tidak selari dengan jiwa dan etos asalnya, bahkan identiti Melayu-Islamnya diperkecilkan.
Sistem selepas kemerdekaan telah beransur-ansur memisahkan bangsa Melayu dari identitinya yang asal semenjak pra-penjajahan (sebelum tahun 1511).
Satu hakikat yang mesti kita sedari adalah walau sedalam mana kita berusaha menjadi seperti barat, kita tetap bukan meeka dan tidak akan dilayan setaraf seperti mereka. Hegemoni mereka terhadap dunia tidak pernah berhenti.
Oleh itu, rakyat Malaysia mesti keluar dari kepompong hegemoni budaya barat. Kita mesti buang semua rasa pesimis, skeptikal bahkan prejudis terhadap keupayaan etos dan identiti Melayu-Islam dalam berperanan menyatukan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama.
Rasionalisasi fikir tentang budaya Melayu-Islam mesti diasak supaya tidak terperangkap dengan mitos negatif dan tahyul tentang betapa mundurnya Melayu-Islam akibat dari penyelewengan fakta, propaganda dan serangan terpilih oleh segelintir yang jahat.
Profesor Syed Husin Al-Attas dengan ketinggian ilmu dan kejujurannya telah pun menunjuk jalan awal membidas serangan jahat ini melalui penulisannya Mitos Melayu Malas pada tahun 1977. Namun, penulisannya yang jujur dan utuh dengan rujukan yang berwibawa telah tenggelam dengan permainan propaganda dan sangka buruk yang melampau.
Kita tidak boleh menafikan adanya segolongan Melayu yang tersepit akhirnya bereaksi dengan ‘siege mentality’, terlampau sensitif dan cepat tersinggung (offended/triggered). Tetapi kita perlu rasional, bahawa mereka yang sedikit ini bukan mewakili seluruh rakyat Melayu-Islam di Malaysia. Jangan biarkan tindakan yang sedikit ini merubah polisi buat seluruh rakyat Malaysia.
Rakyat Malaysia perlu mengenang dan memetik hasil dan buah-buah ranum dari budaya Melayu-Islam yang telah membuka pintu kebersamaan buat semua kaum sejak sebelum penjajahan Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun, 500 tahun yang lalu. Peradaban Melayu yang dikukuhkan oleh kesempurnaan dan keadilan Islam telah membentuk asas bernegara yang unik dan kuat.
Kemerdekaan kita seharusnya membuka pintu luas untuk kita membangun sebuah negara dengan etos Melayu-Islam yang kuat itu dengan selesa dan terbuka. Asas-asas yang telah dibentangkan oleh para negarawan dalam merawat konflik-konflik nasional semenjak merdeka mesti dipegang utuh dan dihormati semua bangsa.
Keharmonian wujud dari kesepaduan sosial. Bagi rakyat Malaysia, impian kesepaduan sosial ini layaknya bermula dari etos dan identiti nasional yang berakar dari budaya Melayu-Islam yang sebenar.
Hj Mohd Tahir Hamdan
Perunding Kanan Pendidikan dan Kebudayaan Isma