Tular di media sosial satu video yang memaparkan ramai “Army” (peminat) khususnya anak muda perempuan, sedang berusaha mendapatkan tiket konsert BTS World Tour ‘Arirang’ yang dijadualkan pada Disember 2026.
Situasi tersebut memperlihatkan kesungguhan luar biasa, apabila ramai yang sanggup menunggu di hadapan komputer secara beramai-ramai dan membelanjakan wang yang besar semata-mata untuk mendapatkan tempat di dalam konsert tersebut.
Kumpulan BTS yang berasal dari Korea Selatan ini mempunyai pengaruh global yang besar. Lagu-lagu mereka kebanyakannya membawa mesej seperti kesedaran kesihatan mental, motivasi diri, tekanan hidup dan pencarian impian. Hal ini menjadikan mereka dekat dengan jiwa ramai anak muda yang menjulang “Self Love”.
Namun, kewujudan unsur positif tidak menjadikan sesuatu hiburan itu bebas daripada penilaian syarak. Islam menilai sesuatu bukan hanya pada manfaat, tetapi juga pada kesan keseluruhan terhadap akidah, pemikiran dan gaya hidup.
Hukum asal hiburan ialah harus, namun boleh berubah menjadi haram apabila wujud unsur seperti pergaulan bebas, pendedahan aurat, kelalaian melampau, pembaziran masa dan wang serta keterikatan emosi yang berlebihan kepada selebriti. Lebih-lebih lagi apabila hiburan tersebut dalam bentuk konsert, jadi, unsur-unsur seperti ini agak sukar untuk dielakkan.
Anak muda dinasihatkan agar bijak memilih dan mengambil hiburan yang sesuai dan dekat dengan tuntutan agama agar tidak mudah terjerumus dalam maksiat dan kelalaian. Ambillah hiburan pada kadarnya dan tinggalkanlah perkara yang tiada manfaat untuk agama.
Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya di antara kebaikan Islam seseorang adalah dia meninggalkan perkara yang tidak bermanfaat.”
(Hadis Riwayat al-Tirmizi)
Masa muda terlalu singkat untuk dihabiskan dengan berseronok pada perkara yang sia-sia. Anak muda perlu memastikan segala pilihan hidupnya berasaskan ilmu dan hujah. Menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai panduan utama bukan hanya pada hal-hal ibadah khusus seperti solat dan puasa, tetapi meliputi perbuatan harian seperti cara berhibur, berbelanja, bergaul, berfikir dan bertindak.
Usia muda adalah amanah yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT. Pilihlah hiburan yang mendekatkan diri kepada kebaikan, bukan yang melalaikan daripada tujuan hidup sebagai hamba dan khalifah-Nya.
“Tidak berganjak kaki anak Adam pada hari kiamat dari sisi Tuhannya sehingga dia ditanya berkaitan lima perkara, berkaitan dengan umurnya pada urusan apakah ia salurkan (sehingga tamat), berkaitan zaman mudanya pada perkara apakah ia dihabiskan, tentang hartanya daripada mana dia memperolehnya dan pada perkara apakah ia dibelanjakan, dan apakah yang dia lakukan dengan ilmu yang dimilikinya”. (Jami al-Tirmizi, no: 2416 – dinilai Hasan Sahih)
Norsyuhadah binti Mohd Fazli
JK Pembangunan Organisasi
Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Malaysia


