Oleh : Kaslawati Binti Kassim
Keputusan SPM 2019 telah diumumkan baru-baru ini. Syabas dan tahniah diucapkan kepada pelajar-pelajar yang berjaya. Buat anak-anak yang kurang berjaya jangan sesekali berputus asa kerana peperiksaan ini semata, bukanlah penentu kejayaan hidup seseorang di dunia mahupun di akhirat kelak.
Buat warga pendidik dan pelajar khususnya di Negeri Sembilan syabas dan tahniah dicapkan kerana Negeri Sembilan berjaya kekal berada di kedudukan kedua di peringkat kebangsaan selepas Putrajaya.
Calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia 2019 di Negeri Sembilan berjaya mengekalkan kedudukan tempat kedua di peringkat kebangsaan selama empat tahun berturut-turut. Seramai 498 calon SPM 2019 di negeri ini berjaya memperoleh keputusan cemerlang iaitu Gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran yang diduduki mereka.
Cukup membanggkan bagi seluruh warga Ikatan Muslimin Malaysia Cawangan Seremban apabila empat orang anak-anak ahli Ikatan Muslimin Malaysia Cawangan Seremban berjaya menempatkan diri sebagai pelajar yang berjaya dengan cemerlang dan mendapat semua A dalam peperiksaan ini. Kejayaan cukup memberi inspirasi terutama kepada warga Ikatan Muslimin Malaysia di seluruh negara.
Keempat-empat anak-anak hebat ini bukan sahaja berjaya dalam bidang akademik, malah mereka juga sangat aktif dalam bidang ko-kurikulum berdasarkan minat dan kecenderungan mereka masing-masing.
Berikut adalah hasil temuramah wartawan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Seremban bersama adik Huzaifah Bin Omar, pelajar terbaik SPM Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu, Seremban. Calon SPM 2019 yang mesra dengan panggilan Jepah ini berjaya memperoleh 10 A+ dan 1A dalam peperiksaan tersebut.
W : Apa perasaan Huzaifah selepas menerima result SPM 2019?
H : Alhamdulillah, semasa menerima keputusan tersebut saya berasa sebak dan sangat bersyukur. Usaha dan doa saya khususnya sepanjang dua tahun terakhir di SMAP Labu akhirnya dibalas oleh Allah SWT dengan kejayaan ini. Walaupun saya tidak berjaya mencapai sasaran 11A+ tapi saya tetap berpuas hati dengan diri sendiri dan berdoa bahawa keputusan inilah yang terbaik untuk saya, InsyaAllah.
W : Boleh kongsikan apakah rahsia cemerlang kejayaan Huzaifah?
H : Alhamdulillah, sebenarnya usaha utama saya yang juga membuatkan saya sangat bersyukur dengan kejayaan ini ialah doa yang tak henti-henti saya panjatkan kepada Allah SWT sejak di tingkatan 4. Saya juga sering berdoa apabila melakukan sesuatu kebaikan. Antara doanya, “Ya Allah, balaslah amal solehku ini dengan tercapainya sasaranku untuk mendapat 11A+”. Begitu juga setiap kali selepas solat. Selain itu, saya memang dilatih oleh Ayah dan Ummi untuk sentiasa menunaikan solat berjemaah di masjid dan memperbanyakkan tilawah al-quran. Kerana dengan membaca al-Quran, kita sebenarnya akan melatih kemampuan kognitif kita untuk sentiasa peka dengan baris, huruf dan tajwid dalam al-quran. Inilah serba sedikit rahsia di sebalik kejayaan ini.
W : Boleh Huzaifah kongsikan cara Huzaifah belajar dan mempersiapkan diri bagi menghadapi SPM 2019?
H : Saya merupakan seorang yang menumpukan perhatian di dalam kelas. Saya cuba lakukannya 200%. Fokus penuh diberikan dengan memandang mata cikgu yang sedang mengajar dan mengelakkan diri daripada keluar
daripada kelas seperti pergi ke tandas. Malah, saya juga membiasakan diri untuk terus bertanya kepada guru tentang sebarang perkara yang menimbulkan keraguan semasa sesi pembelajaran. Saya mengelakkan diri untuk menangguh daripada bertanya di dalam kelas kerana berkemungkinan kita akan terlupa untuk bertanya kembali apabila habis waktu pembelajaran. Akhir sekali, perkara yang paling penting ialah saya berusaha menghormati guru-guru yang mengajar saya.
W : Siapakah sebenarnya di sebalik kejayaan ini yang pastinya banyak membantu, memberi dorongan pada Huzaifah untuk berjaya?
H : Dorongan paling besar ialah diri saya sendiri. Saya meletakkan matlamat yang besar untuk dicapai dalam jangka masa panjang. Jadi matlamat tersebut mendorong saya untuk sentiasa berusaha dan bangkit apabila penat atau mula berputus asa. Selain itu, Ayah dan Ummi juga banyak memberi sokongan moral kepada saya seperti selalu datang melawat saya di asrama. Pengorbanan paling besar adalah apabila Ummi hadir setiap hari sepanjang SPM tahun 2019 untuk memberi sokongan dan dorongan kepada saya. Akhir sekali, saya juga mempunyai seorang teman karib di sekolah yang sentiasa menyokong dan membantu saya untuk belajar. Sepanjang tempoh saya di sekolah, beliaulah yang banyak memberi nasihat, menegur dan mengajak saya
bersama-sama untuk belajar.
W : Apakah harapan dan cita-cita Huzaifah?
H : Saya ingin menjadi usahawan yang juga seorang jutawan. Saya juga sangat bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri di Malaysia di samping menjadi orang yang paling berpengaruh di dunia, insyaAllah.
W : Sejak di bangku sekolah rendah lagi Huzaifah adalah pelajar yang aktif di luar bilik darjah, boleh Huzaifah kongsikan pencapaian-pencapaian yang pernah
Huzaifah capai?
H : Ya, sejak dari sekolah rendah saya memang sangat berminat dengan aktiviti di luar bilik darjah terutama yang berkaitan dengan pentas seperti pidato dan bahas.
Alhamdulillah saya pernah menjadi Johan Pidato Patriotik Peringkat Kebangsaan, Johan Syarahan Agama Majlis Tadarus Al-Quran Peringkat Daerah, Johan Keseluruhan Debat Bahas Bahasa Melayu Piala Perdana
Menteri pusingan awal, Pendebat Terbaik
Keseuluruhan Bahas Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri pusingan awal dan akhir 2019.
Pernah juga mendapat Naib Johan dalam Pesta Pantun Peringkat Daerah Seremban , Tempat Keenam Pendebat Dalam International Arabic Debate Open, First Runner Up N ICTSED Cyber Safe Security Peringkat Negeri, Naib Johan Syarahan Agama Majlis Tadarus Al-Quran Peringkat Negeri, Silver Award International Conferenc Of Young Scientist.
Syukur alhamdulillah, saya juga pernah mendapat Anugerah Tokoh Pelajar Terbilang SMAP Labu 2019 dan Anugerah Pelajar Terbaik SMAP Labu 2019.
W : Boleh kongsikan pesanan Huzaifah buat adik-adik remaja terutama dalam situasi sekarang ini?
H : Dalam cabaran peringakat global sekarang, golongan remaja khusunya Melayu Islam mesti berusaha untuk belajar bersungguh-sungguh kerana dunia barat juga sedang berusaha untuk menguasai kita. Kita perlu berjiwa besar dengan meninggalkan perkara-perkara kecil dan remeh dalam hidup ini supaya dapat menjadi seorang pemimpin yang hebat satu masa nanti. Sebuah kegemilangan akan bermula daripada usaha kecil yang kita mulakan daripada sekarang. Oleh itu, teruskan berjuang untuk ummah dan jangan pernah mengalah.
W : MasyaAllah, syabas dan tahniah kami ucapkan kepada adik Huzaifah Bin Omar, remaja yang bercita-cita tinggi ini. Kami doakan moga beliau terus berjaya dengan cemerlang dan impian beliau untuk menjadi peneraju kepimpinan negara dimakbulkan Allah SWT. Moga remaja yang hobinya suka bercakap dan berfikir ini sentiasa dipelihara Allah SWT daripada sebarang keburukan di dunia dan akhirat dan terus menjadi ikon qudwah khususnya buat anak-anak remaja.
Moga perkongsian yang bermakna ini boleh diaplikasikan oleh anak-anak kita yang bakal menduduki peperiksaan pada tahun ini. Banyak yang kita semua boleh amalkan terutama dalam suasana kita perlu mematuhi perintah kawalan pergerarakan hari ini. Moga Allah bantu kita semua.