oleh: Mohammed Rasheedan bin Ellin
Kes COVID-19 semakin menunjukkan bilangan kes yang menggerunkan sejak beberapa hari ini. Fasiliti kesihatan kita juga semakin meruncing apabila Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia mengatakan ia telah mencapai ‘breaking point’. Tambahan pula, kes-kes jangkitan terhadap pekerja kesihatan semasa bertugas sendiri menunjukkan pandemik ini semakin sukar untuk dikawal.
Melihat fenomena ini, Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Malaysia (I-MEDIK) Kuala Lumpur telah melancarkan inisiatif FRATES B40 untuk menampung kapasiti fasiliti kesihatan melakukan ujian calitan dan mengesan jangkitan dalam komuniti dengan lebih awal.
Ikuti wawancara bersama Dr Anas Mat Asis, Pengarah FRATES B40.
Apakah yang dimaksudkan dengan FRATES B40?
FRATES B40 adalah singkatan kepada Free RTK Antigen COVID-19 Tests for B40. Secara mudahnya, FRATES B40 boleh dijelaskan sebagai Ujian COVID-19 melalui kaedah RTK Antigen secara percuma kepada golongan B40.
Apakah objektif FRATES B40?
FRATES B40 berperanan menjadi hos kutipan dana daripada pelbagai pihak yang ingin menyumbang dan juga menjalankan proses calitan untuk membantu mengesan penularan COVID-19. FRATES B40 memfokuskan golongan B40 kerana B40 adalah kumpulan yang mungkin kurang berkemampuan untuk melakukan ujian calitan yang memakan kos ratusan ringgit.
Melalui inisiatif ini, Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) menjadi peneraju dalam pendekatan baru ini untuk bersama-sama melandaikan lekuk jangkitan dengan memastikan tiada kluster baru muncul dalam komuniti.
Apa strategi FRATES B40 dalam melaksanakan kempen ini?
I-MEDIK selaku penganjur utama bersama-sama rakan kerjasamanya iaitu Yayasan Ikhlas dan Yayasan Maghfirah akan menganjurkan kempen kutipan dana. Selain itu, FRATES B40 juga mensasarkan syarikat swasta, NGO, dan hospital swasta sebagai rakan kerjasama untuk menjayakan FRATES B40.
Dari segi penapisan kelayakan individu untuk mendapatkan perkhidmatan ini, kita akan bekerjasama dengan ahli jawatankuasa setempat seperti pihak Rukun Tetangga ataupun pihak masjid untuk mengenalpasti individu B40 yang memerlukan ujian calitan.
Boleh Dr Anas nyatakan sasaran kutipan dana ini?
Kita mensasarkan sejumlah RM412,000 untuk pembelian 10,000 set RTK Antigen COVID-19 dan 1,000 alat perlindungan peribadi (PPE). Untuk fasa pertama, kita memerlukan RM28,000 untuk 500 unit set RTK Antigen. Oleh sebab itu, kita membuka ruang seluas-luasnya kepada orang ramai untuk menyumbang dana kepada FRATES B40 ini.
Bagi pihak yang ingin menyumbang, boleh klik ke pautan berikut;
Setakat ini berapa sesi calitan telah dilakukan, jika ada?
Setakat ini, kita telah melaksanakan dua sesi calitan. Sesi pertama melibatkan sebuah keluarga seramai enam orang. Sesi kedua di Setia Alam melibatkan 32 orang individu. 1 Februari ini kita akan ada satu sesi lagi melibatkan golongan B40 dan asnaf yang telah disaring kelayakannya oleh pihak masjid.
Bagaimana orang awam dari kumpulan B40 ini boleh mendapatkan khidmat calitan percuma atau mengetahui dengan lebih lanjut tentang FRATES B40 ini?
Orang awam boleh mendapatkan khidmat FRATES B40 ini dengan menghubungi Encik Raher di talian 01118589344 atau Cik Syamimi di talian 0194577323.
Pihak Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Kuala Lumpur mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pihak I-MEDIK dan Persatuan Bangun Bersama Kuala Lumpur atas kesudian berkongsi maklumat tentang FRATES B40 ini. Semoga dengan adanya inisatif ini akan memudahkan golongan B40 untuk mendapatkan khidmat ujian calitan COVID-19. Kita berdoa bersama-sama agar COVID-19 akan berakhir segera.