GLC perlu ditadbir oleh profesional dan teknokrat, bukan ahli parlimen

KENYATAAN MEDIA BERSAMA: GLC PERLU TERUS DITADBIR OLEH PROFESIONAL DAN TEKNOKRAT

Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (ACCIN), Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu (MTEM), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) menzahirkan rasa tidak bersetuju dengan pernyataan Menteri di JPM, Dato’ Takiyuddin Hassan bahawa kerajaan Perikatan Nasional bercadang untuk melantik ahli-ahli Parlimen (AP) yang tidak memegang jawatan Menteri atau Timbalan Menteri menjadi Pengerusi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) serta agensiagensi kerajaan. Apatah lagi sekiranya yang dilantik ialah mereka yang tidak mempunyai pengalaman dan kelayakan.

Dr Mohd Zuhdi Marzuki, pemimpin JK Pusat PAS pula menegaskan bahawa adalah munasabah untuk meletakkan AP yang dipilih oleh rakyat untuk menerajui GLC kerana mereka boleh memantau GLC tersebut bagi pihak rakyat. Kedua-dua peryataan ini jauh tersasar. Jawatan utama di GLC tidak boleh dijadikan habuan politik! Dan kerja Pengerusi bukanlah menjadi pemantau tetapi pemangkin prestasi GLC tersebut. Untuk menjadi pemangkin positif, orang yang dipilih perlu mempunyai kredibiliti, pengalaman, kelayakan, sifat amanah dan rekod cemerlang dalam bidang berkaitan.

Menjadi seorang ahli parlimen tidak bermaksud mereka mempunyai kelayakan professional untuk menjadi teraju sebuah GLC atau agensi kerajaan. Kami menegaskan bahawa pemimpin politik tidak wajar dilantik mempengerusikan entiti perniagaan seperti GLC. Ahli politik lebih baik memegang jawatan politik dan tinggalkan jawatan korporat kepada golongan profesional dan teknokrat. Prinsip utama politics and business do not mix diketahui umum dan menjadi SOP dalam mana-mana negara demokrasi yang matang. Sejarah telah membuktikan apabila politik dan perniagaan dicampur-adukkan, perniagaan meluru ke arah kehancuran.

Sejarah pengurusan GLC dan badan berkanun di Malaysia kini adalah baik. Para teknokrat dan profesional yang berkaliber dijemput menerajui syarikat-syarikat tersebut. Kita masih ingat rekod cemerlang Tan Sri Abdul Aziz Rahman menerajui MAS menjadi satu Syarikat Penerbangan yang terulung di rantau ini. Begitu juga kisah PETRONAS yang diterajui oleh Tan Sri Azizan dan Tan Sri Hasan Merican dipacu menjadi syarikat Fortune 500. Contoh contoh lain adalah seperti FELDA, Sime Darby, CIMB, Maybank dan IHH.

Tujuan GLC dan badan berkanun ditubuhkan adalah untuk:
1. Memfokuskan skop perniagaan syarikat bawah pimpinan pengurusan profesional dan berwibawa secara bebas.
2. Membawa syarikat tersebut menjadi bukan sahaja juara dalam negara tetapi serantau bahkan dunia.
3. Menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan menyediakan peluang pekerjaan berkualiti tinggi kepada rakyat Malaysia.
4. Memberikan servis berkualiti dunia dalam bidang masing-masing.
5. Menjadi pemangkin positif penyertaan bumiputra dalam perniagaan dan industri.

Semasa pemerintahan terdahulu, banyak AP dilantik menjadi Pengerusi GLC seperti FGV, Tabung Haji, FELCRA, MARA dan lain-lain. Hasilnya GLC-GLC ini mengalami kerugian besar dan terpaksa diselamatkan (bail out) oleh kerajaan. Lebih parah, beberapa pengerusi lantikan dalam kalangan ahli politik ini sedang menghadapi tuduhan pecah amanah dan penyelewengan di mahkamah.

Kerajaan perlu belajar dari pengalaman lalu apabila pemimpin gagal memegang amanah: rakyat hilang keyakinan dan beralih arah. Oleh itu GLC perlu kembali kepada peranan badan amanah orang Melayu dan rakyat Malaysia. GLC perlu diurus oleh mereka yang mampu menjaga kepentingan orang Melayu dan rakyat secara keseluruhan!

Kita perlu sedar bahawa banyak ahli politik yang dilantik tidak mempunyai kelayakan asas; dan tidak mengikuti peraturan urus-tadbir dan ketelusan syarikat. Mereka bahkan tidak faham perbezaan asas antara jawatan eksekutif dan bukan eksekutif! Siasatan telah membongkar penyalahgunaan kuasa dan rasuah mega yang hampir melumpuhkan syarikat-syarikat tersebut.

Analisa di atas adalah ringkas tetapi memadai untuk memberikan gambaran menyeluruh kesan jika kita tersilap langkah. Oleh itu ACCIN, PEMBELA, MAPIM, MTEM, DPMM dan MBM menyeru agar kerajaan pimpinan YAB Perdana Menteri tidak mempertaruhkan masa depan GLC dan badan berkanun yang menjadi tunggak ekonomi dan pentadbiran negara dengan meletakkan syarikat-syarikat ini bawah pimpinan mereka yang tidak mempunyai latar belakang dan keupayaan memimpin syarikat-syarikat korporat gergasi ini.

Pada masa yang sama kami menegaskan bahawa para profesional dan teknokrat yang dilantik mesti menunjukkan integriti yang tinggi; dan memahami bahawa fungsi agensi adalah untuk memberikan perkhidmatan dan sumbangan kepada rakyat, bukannya kepada pengurusan semata-mata.

Pemimpin dan Pengerusi GLC yang dilantik bukan hanya perlu kompeten namun harus mampu memainkan peranan pembangunan negara melalui peranan GLC dlm sektor strategic dan masa hadapan. Mereka bukan hanya memastikan keuntungan pada ”balance sheet” yang cantik namun mampu membangunkan industri dan rantaian bekalan tempatan terutamanya penyertaan SME Bumiputera. Pendek kata; mereka harus kompeten dan berjiwa bangsa.

Ir Mohd Jamaludin Bin Shamsudin
CEO ACCIN

Hj Aminuddin Yahaya
Pengerusi PEMBELA (merangkap Presiden ISMA)

Hj. Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden MAPIM

Ahmad Yazid Othman
CEO MTEM

Hj. Abdul Halim Hussin
Presiden DPMM

Jufitri Joha
Presiden MBM

Kuala Lumpur
21 April 2020

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat