GRS menang tapi tidak stabil

Tahniah diucapkan kepada Gabungan Rakyat Sabah (PN + BN + PBS) yang berjaya memenangi Pilihanraya Negeri Sabah (PRN) pada kali ini. Walaubagaimanapun, berdasarkan jumlah kerusi yang dimenangi, kerajaan yang bakal dibentuk nanti akan masih tidak stabil.

Saya berpendapat bahawa kemenangan mereka ini adalah kerana faktor Tan Sri Muhyiddin Yassin yang semakin popular dalam kalangan rakyat. Kegagalan GRS mendapat 2/3 jumlah kerusi membuktikan bahawa sokongan terhadap parti Warisan masih sangat kuat dalam kalangan rakyat Sabah.

Seperti yang saya perkatakan, majoriti sebanyak hanya 6 kerusi adalah sesuatu yang tidak boleh diambil mudah oleh GRS kerana bila-bila masa sahaja wakil rakyat yang menang itu boleh bertukar arah dan melompat menyokong Warisan, seperti yang berlaku sebelum ini.

PRN kali ini menghidangkan kita seruan-seruan provokatif seperti “Sabahan untuk Sabahan” dan seruan-seruan lain yang membenci Semenanjung Malaysia pasti memberikan kesan jangka masa panjang dalam pemikiran rakyat dan ini adalah tidak baik untuk kesejahteraan negara. Sentimen ini hanya akan membakar kebencian rakyat Sabah terhadap kerajaan pusat dan Malaysia secara amnya.

Selain itu, kemenangan UMNO yang mendapat kerusi terbanyak dalam GRS akan menimbulkan pertikaian jawatan Ketua Menteri sesama parti gabungan, terutamanya antara pasukan UMNO dan pasukan BERSATU.

Walaupun Tan Sri Muhyiddin sudah mengumumkan bahawa wakil rakyat daripada BERSATU akan menjadi Ketua Menteri, pastinya akan ditentang keras oleh UMNO yang akhirnya mencetuskan pergolakan berpanjangan dalam gabungan tersebut. Ini juga merupakan faktor kepada kemungkinan wakil-wakil rakyat dalam GRS akan melompat.

Apa-apa pun, tahniah kepada GRS atas mandat yang diberikan oleh rakyat ini. Semoga tanggungjawab ini digalas dengan baik dan membawa kebaikan kepada rakyat Sabah.

 

Aminuddin Yahaya
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
27 September 2020

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat