“Cikgu..Boleh tak saya buat kerja ni kat rumah ?” tanya seorang murid tahun 2 kepada si guru.
” Kenapa nak buat dirumah ? Sekarang kamu nak buat apa? ” soal si guru cuba untuk memahami. Otak nya ligat berfikir. Anak ini mewujudkan dua pilihan dalam dirinya sendiri.
Dia memilih untuk membuat tugasannya di rumah, bukan dalam bilik darjah dimana tugasan tersebut patut diselesaikan.
Bahasa badannya menunjukkan dia sungguh tidak bersemangat untuk melaksanakan tugasan tersebut. Lalu dia mengambil keputusan untuk menangguhkannya. Di rumah belum tentu dia akan menyiapkan tugasan tersebut kerana peratusan dia menjadikan alas an tersebut sebagai helah untuk tidak membuat tugasan itu tinggi.
Si guru mengesan bahaya ini.
Tingkahlaku negatif murid boleh disekat dari terus menjadi tabiat atau kebiasaan murid pada kali pertama dia berbuat demikian. Ini waktu yang terbaik sebelum dia menjadi selesa dengan sikap menanguh-menagguhkan begitu.
” Kalau kamu selesaikan tugasan ni sekarang, nanti dirumah kamu ada banyak benda lain yang boleh kamu buat sebab tugasan ni dah siap. Kalau kamu buat dirumah nanti, mungkin ada banyak benda yang kamu tak boleh buat sebab kena selesaikan tugasan ni kat rumah.” Jelas si guru.
” Haah..nanti ko tak boleh main. Petang ni nak pegi sekolah agama pulak. Bila ko nak buat. nanti malam penat nak tengok tv ” celah seorang murid yang duduk bersebelahan dengannya.
Perlahan dia membuka kotak bekas pensil warna nya. Dia mula melaksanakan tugasan tersebut. Si guru terus membantu, memuji dan menjelaskan. Semakin lebar senyumnya.
Akhirnya dia menjadi murid pertama yang berjaya melengkapkan tugasan tersebut. Si guru menulis nombor 1 pada kertas tugasan tersebut sebagai tanda orang pertama siap. Semakin lebar senyumnya.
” Saya nak tunjuk kat mak saya cikgu,” ujarnya sambil melipat kertas tugasan dan memasukkannya ke dalam beg. ” Dan dia duduk bersandar puas pada kerusi kayunya.
“Jadi nanti di rumah bolehla fikirkan apa yang kamu nak buat. Tugasan kamu di sekolah kamu dah selesaikan. Betul tak? Ujar siguru membuat peneguhan.
Dia mengangguk-ngangguk dan kemudian memandang ke arah rakan-rakannya yang masih bertungkus lumus menyiapkan tugasan mereka. Sudah tentu dengan muka bangga.
Rakan-rakan yang budiman,
Antara tugas besar seorang guru dalam bilik darjah ialah membentuk sikap yang positif dalam diri kanak-kanak. Dalam bilik darjah ada sekian banyak peluang untuk membentuk sikap yang positif dan begitu juga untuk membiarkan sikap yang negatif berakar dalam diri murid-murid.
Guru perlu tangkas dalam menganalisa keadaan, membuat penilaian seterusnya membuat keputusan apakah jalan yang perlu diambil untuk membuat peneguhan positif dalam membentuk tingkahlaku positif murid-murid.
Guru dalam banyak keadaan perlu membimbing murid-murid membuat keputusan. Ia secara tidak langsung mendorong murid-murid untuk berfikir dan memproses maklumat untuk membuat keputusan. Dari sinilah sikap dan tingkahlaku murid juga akan mula terbentuk. Yang mana positif akan diteguhkan. Yang mana negatif akan dihapuskan.
Inilah proses yang berlaku berulang-ulang dalam bilik darjah. Proses yang tidak ada tertera dalam mana-mana senarai tugas dalam mana-mana surat lantikan seorang guru.
Ianya secara tabie meresap masuk ke dalam jiwa dan sekaligus membentuk karakter dan peribadi unggul seorang guru yang dalam kepalanya siang malam akan sentiasa berfikir ” Apa yang aku nak kena buat dengan anak murid aku ni ya?’ ..sampailah tempoh perkhidmatannya berakhir atau Allah menjemputnya, yang mana yang datang dahulu.
Asmadi Abdul Samad
Cikgu Darjah 1