Guru Perlu jaga tutur Kata, Jangan bergurau Perkara Lucah

Tular baru-baru ini video yang telah dimuatnaik di laman “Tik tok” oleh seorang murid perempuan sekolah berkenaan gurauan seorang guru lelaki yang membuat lawak lucah mengenai gangguan seksual di dalam kelas ketika sesi pembelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan. Akibat daripada tularnya video ini, murid tersebut telah menerima ugutan rogol dari rakan sekelasnya.

Biro Keluarga dan Masyarakat berharap hal ini dapat disiasat dan ditangani sebaiknya oleh pihak berkuasa. Gurauan berbaur lucah haruslah dielakkan di mana sahaja kita berada apatah lagi bila berhadapan dengan murid-murid di sekolah.

Kementerian Sumber Manusia (1999) mengkategorikan bentuk-bentuk gangguan seksual kepada lima jenis utama, salah satunya ialah Gangguan Secara Lisan. Ini meliputi kata-kata, komen, gurauan, usikan, bunyi dan soalan-soalan berbentuk ancaman atau cadangan seksual (Welsh, 1999).

Adalah menjadi kewajipan seorang guru menjaga tutur katanya sepanjang proses pengajarannya. Bercerita atau membuat lawak jenaka berbau lucah dengan murid adalah satu perlakuan yang boleh dianggap gangguan seksual.

Guru perlulah menunjukkan contoh yang baik kepada murid-murid bukan sahaja dari segi tingkah laku, malah bahasa yang dituturkan juga haruslah baik. Guru haruslah sentiasa ingat bahawa peranan mereka sangat besar dan sangat penting kepada murid-murid. Guru merupakan role model yang paling hampir kepada murid.

Sekolah sepatutnya menjadi tempat yang selamat untuk anak-anak. Sebarang gangguan seharusnya ditangani dengan baik oleh pihak sekolah termasuklah gangguan seksual. Semaikan budaya saling menghormati antara guru dan murid, juga antara murid lelaki dan perempuan. Hindarkan segala bentuk perbuatan atau kata-kata yang berbauh lucah yang boleh mengancam maruah wanita.

Realitinya sembang lucah ini berlaku bukan sekadar di sekolah malah di kebanyakan tempat. Justeru, Biro Keluarga dan Masyarakat ingin memberi penekanan kepada masyarakat agar hentikan budaya sembang bahasa lucah ini kerana ia boleh merosakkan akhlak generasi akan datang.

 

Hjh. Asma Binti Ahmad
Pengerusi Biro Keluarga dan Masyarakat ISMA

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat