Biro Keluarga dan Masyarakat (BKM) ISMA ingin melahirkan rasa kesal dengan kejadian yang berlaku di sebuah tadika, murid menyarungkan cincin di jari seorang kanak-kanak perempuan yang tular di media sosial beberapa hari lepas. Kononnya ingin mengikut arus semasa yang tular di TikTok ‘Marry Me Challenge.
Sudah menjadi budaya masyarakat sekarang meniru semua aksi atau lakonan yang tular di laman TikTok, instagram juga twitter, tanpa mengira baik buruknya. Perkara ini tidak seharusnya berlaku di dalam masyarakat kita apatah lagi aksi ini disuruh oleh guru kanak-kanak tersebut.
BKM ISMA ingin menyeru kepada semua pengusaha tadika agar menjadikan sekolah sebagai sebuah taman didikan kanak-kanak yang mempunyai persekitaran pembelajaran yang selamat dan kanak-kanak diajarkan ilmu berguna.
Aktiviti yang dijalankan pula haruslah kreatif dan menyeronokkan mengikut garis panduan syara’. Ini selari dengan objektif pendidikan prasekolah iaitu melahirkan murid yang mampu mengamalkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian untuk murid beragama Islam.
Guru tadika juga memainkan peranan penting kepada kanak-kanak. Mereka adalah model kepada kanak-kanak selain bertanggungjawab sebagai pendidik, pembimbing dan pengasuh kanak-kanak.
Hajah Asma Binti Ahmad
Pengerusi Biro Keluarga dan Masyarakat