Tidak semua guru mengajar untuk membina generasi dan anak bangsa. Ada juga guru yang berperanan sebagai ejen penjajahan dan melahirkan generasi yang akan mengkhianati bangsanya sendiri.
Demikian yang berlaku ketika era penjajahan British di Tanah Melayu.
Antara faktor penting yang membezakan penjajahan British dengan kuasa lain sebelumnya ialah kejayaan British untuk melakukan cengkaman yang komprehensif ke atas Tanah Melayu, secara ‘hard power’ dan juga secara ‘soft power’.
British berjaya melakukan pemerintahan secara langsung dan tidak langsung (indirect rule) di Tanah Melayu. Bagaimana mereka berjaya melakukannya?
Antara strategi penting British ialah melahirkan lapisan generasi daripada orang tempatan sendiri yang berubah jiwa dan raganya daripada berpaksikan peradaban Melayu kepada paksi kuasa Anglo.
Generasi ‘anglophile’ (manusia berkiblatkan barat) inilah yang kemudiannya diangkat menjadi pemimpin dan pentadbir dalam kerajaan penjajah & kerajaan pasca penjajahan.
Strategi tersebut dijayakan melalui pendidikan yang terancang. British menubuhkan institusi pendidikan yang khusus berasaskan falsafah dan silibus yang mereka mahukan.
British juga membawa guru-guru dari kalangan orang British untuk datang mengajar dan membesarkan anak-anak Melayu (khususnya golongan bangsawan) dengan gaya dan citarasa British. Sesetengahnya merupakan misionari Kristian yang dibela oleh kuasa kolonial.
Lalu anak-anak Melayu-Islam ini berubah daripada generasi yang berjuang mempertahankan kemuliaan dan kebebasan watan, kepada pemuja dan pencinta orang yang menjajah mereka. Daripada orang yang menyuap nasi dengan tangan kepada orang yang hanya makan roti dengan sudu dan garpu.
Semuanya hasil didikan guru-guru British yang bukan sekadar mengajar di kelas tetapi bersama-sama mereka dalam membentuk peribadi mereka di sekolah-sekolah asrama (boarding school) British.
Saat ‘kemerdekaan’ dilaung-laungkan dan orang di Tanah Melayu berbangga akhirnya dapat mentadbir tanah air sendiri, rata-rata pemimpin orang Melayu masih berkiblatkan British malah menyusun segala agenda negara mengikut kehendak, kepentingan, dan citarasa British.
Demikian dahsyatnya dan berbaloinya kesungguhan British membawa guru-guru mereka datang ke sini dan mengajar orang Melayu.
Kepada guru-guru hari ini, anda memikul amanah yang besar untuk melakukan usaha ‘reversal’ kepada kerosakan generasi dan anak bangsa yang telah dilakukan oleh penjajah dahulu.
Masa depan bangsa ini pada 70-100 tahun akan datang tentu sekali amat berbeza jika anda berjaya melahirkan semula generasi pemimpin yang benar-benar jiwa raga dan jatidirinya berpaksikan kesucian dan ketinggian peradaban Melayu-Islam.