Hari Kedua Banjir Kilat, Isma Seremban Turun Membantu Mangsa

Oleh : Kaslawati Binti Kassim

SEREMBAN, 12 Nov – Ikatan Muslimin Malaysia Isma Cawangan Seremban melalui Biro Pemuda Isma Seremban dan Wanita Isma Cawangan Seremban telah berusaha membantu meringankan beban masyarakat di sekitar Seremban yang diuji Allah dengan ujian banjir kilat di sini.

Barisan Relawan Muda Isma bertungkus-lumus membantu melakukan kerja-kerja pembersihan rumah dan barang-barang milik mangsa-mangsa banjir Blok C Ampangan, Kg Sri Mantau dan Kg Batu 3, Mambau.

Manakala barisan Wanita Isma Cawangan Seremban turut bersama membantu menyediakan dan mengedarkan barang-barang keperluan mangsa termasuk makanan untuk sarapan pagi, makan tengah hari dan malam. Makanan ini diedarkan bagi meringankan beban mereka setelah semua dapur, peralatan dapur dan barang-barang mentah rosak.

Kebanyakan kawasan yang terlibat, kedudukannya sangat hampir dengan kawasan sungai. Dipercayai sungai melimpah akibat hujan lebat menyebabkan berlakunya kejadian banjir yang tidak disangka-sangka ini.

Banjir kilat kali ini telah mengakibatkan sebuah jambatan besi yang menghubungkan Kg Batu 3 dan Kg Sri Mantau dengan sebuah jalan besar runtuh.

“Banjir kali ini umpama banjir besar yang pernah melanda kampung kami pada tahun 1971. Namun kelainan kejadian pada kali ini adalah apabila arus air sangat deras dan air naik terlalu cepat. Arus yang deras menolak hampir semua barang-barang kami di dalam rumah. Kebanyakan barang kami beralih dan bergerak,” ujar Puan Nor salah seorang penduduk di sini.

Melihat dan memahami keperluan penduduk yang rumah dinaiki air setinggi lebih lima meter, kereta dan motor tenggelam, katil-kati dan tilam rosak, almari dan sofa terpkasa dibuang, baju-baju dan rumah dipenuhi lumpur selut, wakil barisan pemuda dan wanita Ikatan Muslimin Malaysia Isma Cawangan Seremban turun untuk membantu mangsa semampunya sejak dari hari pertama kejadian.

Isma Cawangan Seremban juga telah membuka kutipan khusus untuk membantu mangsa-mangsa banjir yang turut menjejaskan beberapa kawasan seperti Ampangan, Bukit Chedang, Mambau, Kg Kuala Sawah, Taman Angsamas, Kampung Dato Mansor di Rasah dan beberapa kawasan lain.

“Kami lancarkan tabung kutipan misi banjir ini untuk membantu mereka yang terlibat dan membuka ruang kepada seluruh masyarakat untuk sama-sama menyumbang. Alhamdulillah, sumbangan dari masyarakat dalam bentuk wang ringgit mahupun barangan keperluan yang diperlukan oleh mangsa sangat menggalakkan,” ujar Tuan Hj Norhelmi Bin Jamil, YDP Isma Seremban.

Jutaan terima kasih kami ucapkan kepada para penyumbang dan semua pihak yang bersama Isma Seremban dalam membantu meringankan beban para penduduk di sini dan beberapa kawasan lain.

Selain di Kg Batu 3 dan Kg Sri Mantau, Mambau, penggerak Isma Seremban telah turun membantu mangsa di Blok C Ampangan, Taman Angsamas, Kg Abok Rahang.

“Moga Allah berkati segala kerjasama dan usaha yang baik ini. Moga Allah kira sebagai amal soleh di sisiNya,” ujar YDP Isma Seremban lagi.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat