Oleh: Hawa Mahmood
KEMAMAN, 22 Sept – Sambutan ulang tahun ke-57 pembentukan negara Malaysia yang ditubuhkan bersama oleh Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak disambut meriah melalui program “Santap Santai Hari Malaysia” anjuran ISMA bersama Geng Ngaji Kemaman, di Pantai Teluk Mak Nik, Geliga pada hari Rabu yang lalu.
Walaupun pergerakan dan aktiviti terbatas kerana mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), susulan pandemik COVID-19 yang masih membelenggu negara, namun semangat cintakan tanah air tetap terserlah dengan penyertaan lebih 180 orang ramai yang hadir dari sekitar daerah Kemaman.
Sambutan dimulakan pada jam 8.30 pagi dengan semua peserta berdiri hormat menyanyikan lagu Negaraku dan juga lagu rasmi ISMA.
“Nenek moyang kita telah berjuang untuk mempertahankan tanahair. Adalah penting bagi kita untuk menerapkan semangat kemerdekaan dalam anak-anak generasi baru agar mereka tahu bahawa pengorbanan bagi mengasaskan negara Malaysia ini bukanlah suatu yang mudah” ujar Ustaz Mohd Zulkifli Ibrahim, YDP ISMA Kemaman dalam ucapan perasmian beliau. Ustaz Mohd Zulkifli turut menegaskan bahawa kemegahan bangsa dan negara ini adalah semata-mata kerana Islam.
Acara sambutan diteruskan dengan penjelasan ringkas keunikan Pantun Melayu oleh Saudara Nurul Azmir, TYDP Isma Kemaman.
Bertepatan dengan tema “Bahasa Identiti Negara” yang dibawa oleh ISMA, pelbagai persembahan kebudayaan melayu telah disusun, termasuklah persembahan pidato, sajak, silat, pantun, dan wacana peradaban bangsa.
Para hadirin yang hadir juga diberi peluang untuk mencuba permainan warisan Melayu, seperti batu seremban, congkak dan teng-teng sepanjang program. Disamping dijamu dengan perlbagai makanan yang dibawa sendiri oleh peserta, mereka turut dijamu dengan ayam, daging dan sotong bakar dan juga kambing panggang. Sambutan berakhir pada jam 12.30 tengahari.