Hari Pertama Persekolahan, Buat Si Ibu & Ayah….

Ibu-ibu terutamanyalah yang paling berdebar-debar kan? Ok tak anakku nanti? Makan tak dia? Pandai ke dia nak ke tandas? Dan macam-macam lagi kerisauannya. Itu belum lagi jika ada anak yang menangis atau meraung kerana baru pertama kali ditinggalkan. Moga semua ibu bapa dikurniakan kesabaran dan ketabahan. Biasanya ibu-ibu yang bekerja dah siap ambil cuti untuk pastikan semuanya berjalan lancar. Dan tak dilupakan, ada juga ayah-ayah yang turut ambil cuti untuk beri sokongan moral kepada anak-anak.

Jangan risau, jangan bimbang ibu ayah sekalian. Berilah kepercayaan kepada guru-guru dan tinggalkanlah anak-anak kita semua dalam jagaan Allah.

Namun, bagaimana nak menghilangkan saki baki kerisauan yang masih ada itu? Takkan setiap hari nak ambil cuti dan perhati anak kan? Setelah kita berusaha, maka berserah dan bertawakkal lah kepada-Nya dengan berdoa.

Setiap pagi, sebelum menghantar anak-anak, boleh sama-sama amalkan doa-doa yang diajarkan Rasulullah SAW dalam zikir al-Ma’thurat. Kalau yang dah hafal, boleh baca sambil memandu dan sebagainya.

Antara doa-doa untuk ketenangan hati dan memohon perlindungan daripada Allah yang terkandung dalam zikir al-Ma’thurat tersebut:

1. بِسْمِ اللَّهِ الَّذِى لاَ يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَىْءٌ فِى الأَرْضِ وَلاَ فِى السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Maksudnya: “Dengan menyebut nama Allah yang dengan sebab nama-Nya tidak ada sesuatu pun di bumi mahu pun di langit yang dapat membahayakan (mendatangkan mudarat). Dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui” (HR. Abu Daud dan Tirmidzi)

2. أَعُوْذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ

Maksudnya: “Aku berlindung dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna dari kejahatan apa yang diciptakan-Nya nescaya tidak akan ada yang memudaratkannya” (HR Tirmidzi dan An-Nasaie)

3. اَللَّهُمَّ اِنِّى اَعُوْذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَن…

Maksudnya: “Ya Allah, aku berlindung pada-Mu dari rasa sedih dan gelisah…” (HR Bukhari)

4. …حَسْبِيَ اللَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ ۖ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ ۖ وَهُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ

Maksudnya: “…Cukuplah Allah bagiku, Dialah Allah yang Maha Esa, yang tidak bergantung kepada selain-Nya. Hanya kepada-Nya aku bertawakkal (yakni aku serahkan segala urusanku), dan Dia adalah Tuhan yang memiliki ‘Arsy yang agung)” (Surah at-Taubah: 129)

Selain itu, ada satu doa yang Nabi SAW ajarkan untuk dibaca sebelum mengucapkan selamat tinggal. Biasanya doa ini dibaca oleh mereka yang ingin berlepas menunaikan Haji:

عن أبي هريرة رضي الله عنه أن النبي – صلى الله عليه وسلم – قال: “من أراد أن يسافر فليقل لمن يخلف: أستودعكم الله الذي لا تضيع ودائعه”

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah RA, sesungguhnya Nabi SAW telah bersabda: “Barangsiapa yang ingin bermusafir maka sebutlah kepada mereka yang ditinggalkan, “Aku menitipkan kamu kepada Allah, Tuhan yang tidak sesekali akan mensia-siakan barang yang dititipkan pada-Nya” (HR Ahmad dan doa ini dinukilkan dalam kitab Al-Azkar Imam Nawawi).

Jadi, bolehlah juga kalau nak amalkan doa ini untuk hantar anak ke sekolah. Setelah peluk cium dan meninggalkan mereka dengan lambaian, bacalah doa ini:

إِنِّي أَسْتَوْدِعُكُمُ اللهَ

Sesungguhnya aku menitipkan kamu (sebutlah nama anak masing-masing) kepada Allah.

Mudah-mudahan mereka semua sentiasa dalam jagaan Allah dan tenang jiwa ibu dan bapa pergi meninggalkan mereka seketika.

***

“Maka Allah adalah sebaik-baik Penjaga dan Dia adalah Maha Penyayang di antara para penyayang” (Surah Yusuf: 64)

Ustazah Nur Fatin Halil
Ahli Majlis Ulama ISMA

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat