HASRAT TERENGGANU JAGA MARUAH WANITA SATU PENGHORMATAN-KETUA WANITA ISMA

BANGI, 20 Feb – Parti DAP dan MCA dalam laporan Ismaweb mengutuk hasrat Terengganu yang mahu mewartakan garis panduan penganjuran program hiburan kebudayaan dan pelancongan dalam masa terdekat.

Dalam laporan tersebut, Pengarah Biro Hal Ehwal Pembangunan DAP Kelantan dan Terengganu, Lee Chin Chen tidak berpuas hati kerana hanya orang lelaki sahaja dibenarkan membuat persembahan terbuka sedangkan wanita hanya di tempat tertutup.

Perkara ini mendapat perhatian Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustazah Suriani Sudi yang melihat tindakan kerajaan Terengganu itu atas alasan mengambil kira agama dan adat resam penduduk Terengganu yang majoritinya beragama Islam.

”Tindakan mereka merupakan tindakan yang wajar dipuji kerana bukan sahaja ianya merupakan satu penghormatan kepada wanita, malah ianya satu pendekatan yang mampu mengurangkan maksiat dan gejala sosial daripada berleluasa di kalangan masyarakat,” katanya ketika dihubungi.

Pada masa yang sama, Ketua Wanita MCA, Datuk Heng Seai Kie menyifatkan hasrat Terengganu itu sebagai mundur, mendiskriminasi jantina, ekstrem dan tidak menguntungkan ekonomi.

Perkara itu disangkal oleh Ustazah Suriani kerana yakin pelancong dan pelawat yang datang ke Terengganu untuk melihat pelbagai tarikan budaya dan keindahan pantai serta pulau di Terengganu.

“Hakikatnya pemikiran DAP dan MCA yang masih mundur kerana belum terbuka menerima perbezaan pendapat dan cara berfikir rakyat majoriti di negara ini.

“Usaha memaksakan pelaksanaan polisi yang tidak bersesuaian dengan kehendak masyarakat tempatan haruslah dihentikan serta-merta demi kesejahteraan negara,” katanya.

Ujar Ustazah Suriani lagi, MCA dan DAP seharusnya lebih fokus kepada isu yang membawa kemudaratan seperti masalah ketagihan arak, penggunaan arak secara berleluasa sehingga mengakibatkan kematian dan sebagainya.

“Malah mereka sepatutnya memberikan penumpuan terhadap konsert-konsert yang merosakkan moral dan menimbulkan masalah sosial dalam kalangan rakyat Malaysia,” ujarnya yang juga pensyarah di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat