Universiti Malaya baru-baru ini dikejutkan dengan satu adegan yang tidak senonoh antara lelaki dan perempuan dalam sebuah program yang dikenali sebagai Karnival Teater UM (Karviter UM) berlangsung bermula pada 8.30 malam pada 14 April 2026 di Panggung Eksperimen, Universiti Malaya.
Perlakuan yang melampaui batas dan dipamerkan secara terbuka ini bukan sahaja mencemarkan nama baik institusi pendidikan kebanggaan negara, bahkan sebuah manifestasi kejatuhan moral yang amat mendukacitakan.
Apabila budaya hedonisme diangkat lebih tinggi daripada budaya ilmu, kita sebenarnya sedang menyaksikan tragedi hilangnya rasa malu dan pertimbangan dalam susuk tubuh seorang mahasiswa yang diharapkan menjadi pemimpin masa hadapan.
Tragedi pergaulan bebas atau ikhtilat tanpa sempadan serta adegan jelik ini sebenarnya adalah simptom kepada masalah yang lebih kronik. Iaitu, mahasiswa hari ini dilihat sedang hidup dalam kekeliruan dan tidak memaknai apa erti sebenar menganut agama Islam.
Harus kita fahami bahawa Islam tidak pernah melarang fitrah manusia untuk berhibur, apatah lagi untuk bergiat aktif dalam lapangan seni. Namun, kebebasan itu haruslah selari dengan garis panduan syariat agar manusia tidak tergelincir ke lembah kehinaan. Mengapa panduan ini dilihat sebagai kongkongan? Hal ini terjadi apabila kita gagal memahami hakikat mengapa kita diciptakan dan dihidupkan di atas muka bumi ini.
Adakah ini nilai yang ingin kita pertahankan sebagai mahasiswa di sebuah institusi ilmu yang terulung?
Tanyalah pada diri, kemanakah arah tuju kebebasan berhibur ini jika akhirnya ia merobek maruah dan merosakkan keluhuran jiwa.
Hiburan yang pada asalnya bersifat melapangkan fikiran, kini telah bertukar menjadi racun yang mematikan rohani. Sehinggakan, perkara yang jelas salah mula dinormalisasi dengan sorakan dan tepukan tanpa sekelumit rasa bersalah.
Oleh yang demikian, solusi bagi mengekang barah hedonisme ini tidak boleh disandarkan kepada larangan dan pencegahan semata-mata. Tetapi, terdapat keperluan yang teramat mendesak untuk kita mendidik dan memberi kefahaman kembali tentang hakikat kehidupan seorang Muslim dan tujuan penciptaan manusia.
Buat rakan-rakan mahasiswa yang mengambil hikmah Islam dengan sebenar-benarnya, usahlah dekati dan mencuba-cuba hiburan yang nyata melalaikan. Namun, sebagai manusia yang tidak lari dari kesilapan, jika ada dalam kalangan kita yang sudah terjerumus dan tersasar, kembalilah semula ke lembah keimanan. Duduk, berfikir dan bermuhasabah sebelum terlewat. Kemudian, binalah kembali identiti diri sebagai Muslim yang bermaruah.
Muhammad Nor Hafiz bin Mohd Nawai
YDP Persatuan Belia Islam Nasional Malaysia (PEMBINA) UM


