Pertama sekali izinkan saya gunakan istilah bipolar untuk nama penuh Bipolar Mood Disorder sama ada Type 1 atau Type 2.
Sedikit sejarah: Julai 2018, didiagnos dengan Major Depressive Disorder dan diagnosis bertukar kepada Bipolar Mood Disorder Type 2 pada Oktober 2019.
Sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia hari ini, saya berfikir nak tulis apa. Lalu saya terjumpa satu soalan di FB Group. Soal pemilik akaun tersebut, adakah anda memilih untuk menyatakan anda menghidap bipolar atau hidup dengan bipolar?
Soalan tersebut saya tanyakan kepada diri sendiri. Memikirkan dan meletakkan definisi sendiri pada kedua-dua frasa tersebut – menghidap atau hidup dengannya?
Pada tahap ini, saya mahu mengatakan bahawa saya hidup dengan bipolar. Bagaimana hidup dengan bipolar?
Menurut Mimi (2020), hidup dengan bipolar bermaksud kita telah menerima hakikat, berdamai, sedang berasimilasi dengannya, mampu mengenalpasti dan bertindak mengikut kesesuaian untuk memastikan keberlangsungan hidup dari segi agama, sosial, ekonomi dan politik.
Bagaimana caranya? Saya ringkaskan kepada lima perkara utama.
1. Terima.
Mula-mula dulu saya selalu desak diri sendiri untuk cepat sembuh. Setiap kali jumpa doktor, selalu berharap doktor akan berhentikan ubat segera. Sampai sekarang pun sebenarnya.
Jadi, fasa permulaan yang paling penting ialah terima. Penerimaan kita bergantung kepada bagaimana pengetahuan kita terhadap penyakit mental. Jadi jangan segan tanya doktor apa-apa soalan, banyakkan baca artikel positif, ikut badan/agensi/individu yang selalu kongsi dan beri pecerahan berkenaan kesihatan dan penyakit mental. Jangan salah masuk “support group” sebab ada yang agak toksik.
2. Terus-terang.
Ada sesetengah keadaan di mana kita terpaksa berterus terang mengenai keadan kesihatan kita. Cabarannya ialah penerimaan mereka. Contohnya, semasa mendaftar untuk belajar, saya berterus terang kepada pegawai tersebut mengenai keadaan saya. Dekat borang pemeriksaan kesihatan pun ada tulis.
Sehingga hari ini, setiap kali saya rasa tak ok saya akan lari ke bilik beliau. Dia akan beri ruang untuk saya rehat dan tenangkan diri. Ada sekali tu, semasa tiada sesiapa di kelas, saya menyorok di sebalik meja. Dia telefon nak tanya saya kat mana tapi saya jawab dengan nafas tersekat-sekat. Masa ni kena serangan panik dan saya baru lepas telan lima biji Panadol (niatnya nak telan sepapan). Tak lama lepas tu, dia datang cari saya di kelas dan bawa saya ke pejabatnya, beri saya bantal dan selimut untuk tidur dan berehat.
Ada juga yang tahu keadaan saya dan daripada respon yang saya terima saya tahu dia belum mengerti. Jadi, kalau ada krisis memang saya takkan terfikir nak pergi cari dia. Haa, begitu.
3. Tapis.
Dulu saya mudah terguris dan melenting apabila ada cerita, berita atau sesuatu yang menimbulkan kemarahan dan ketidakselesaan. Tak kisah la berkenaan apapun. Jadi sekarang saya mula tapis maklumat yang saya akan baca dan hadap setiap hari. Twitter tu saya akan buka kalau tengah ok je. Kalau tak ok atau tengah musim kemarahan rakyat memang saya nyah-aktif.
4. Tepi.
Kalau penat, ke tepi dulu dan rehatlah. Ini juga yang selalu saya sebut dan buat. Penat sakit mental ni lain macam. Tak buat apapun boleh penat. Penat nak lawan dengan semua pemikiran negatif yang datang bertalu-talu.
Boleh jadi pagi tu duduk dalam kelas ok je, borak dan ketawa macam biasa. Tiba-tiba petang tu mula berdebar-debar, nafas pendek, rasa nak menangis tanpa sebab dan datang pemikiran aneh bertalu-talu. Penat nak lawan dan buat-buat normal. Kalau dalam fasa depresi lagi haru. Penatnya macam orang kerja seharian.
Cuma bipolar ni, kena berhati-hati sikit kalau boleh buat kerja berhari-hari dengan penuh tenaga, idea mencurah-curah dan tak duduk diam ke sana sini. Sebab tak lama lepas tu, biasanya akan tewas. Memang seronok. Lepas dah kenal diri sendiri macam tu, setiap kali rasa bersemangat dan banyak idea tu, saya akan beri ruang kepada diri untuk rehat juga untuk elakkan kembali kepada fasa depresi.
Kelakar juga bila diingat semula. Dah besar panjang pun tak dapat kenal diri sendiri lagi.
5. Tahu.
Semakin lama, kita akan semakin faham dan belajar terima diri sendiri. Kemudian, kita akan tahu macam mana nak kendalikan diri. Contohnya, apabila dalam fasa depresi dan tak ok, saya akan tekankan “self-care”. Ada banyak cara “self-care” dan “self-love”. Terpulang kepada diri kita mana yang sesuai.
Fasa hipomanik ni susah sikit nak perasan tapi kalau masa tu rasa sihat dan gembira tu, saya akan manfaatkan untuk buat kerja bersungguh-sungguh, gembira sungguh-sungguh dan menikmati saat mampu berfungsi dengan baik. Sebab saya tahu diri saya. Biasanya fasa hipomanik ini akan diikuti fasa depresi. Jadi, saya akan bersedia dengan stok coklat dan buat perkara yang menggembirakan. Kena belajar imbangkan antara dua fasa ni.
Teori Mimisme 2020 ni berdasarkan pengalaman, percubaan dan pemerhatian sendiri tau. Tidak berdasarkan apa-apa kertas kajian akademik.
Sebenarnya banyak lagi nak kongsi tapi dah penat menaip. Jadi, saya nak benarkan diri saya berehat.
Semoga bermanfaat.
(Dipetik daripada catatan peribadi di Halaman Facebook Mimi Musa, Aktivis ISMA Kuala Lumpur)