Holiyau betul katanya!

Isu kartel daging belum reda, datang pula ‘posting’ daripada Ahli Parlimen Muar yang rancak mempromosikan makanan dari kedai makan Cina.

Holiyau betul katanya!

Daripada ‘posting’ tersebut, banyak kenyataan balas dalam kalangan ‘Jabatan Netizen’ yang bersetuju dengan tindakan beliau. Malah, beliau sendiri mengaku bahawa makanan yang dimakan halal dan bersih kendatipun beliau makan di kedai yang terang-terangan menjual arak dan ‘pork’.

Saya tidak mahu mengulas lanjut perbuatan beliau. Pada hemat saya, beliau sudah cukup matang untuk membezakan yang mana baik dan yang mana buruk malahan pasti juga bijak untuk membezakan halal dan haram sesuatu perkara atau makanan.

Cuma, sebagai seorang Muslim, kita harus berkelakuan lebih muslim daripada bukan muslim. Kenapa saya berkata begitu?

Vegetarian yang bukan Muslim juga tidak mahu makan di kedai yang sebegitu, inikan pula kita yang Muslim dan mempunyai pelbagai hukum agama yang perlu dipatuhi.

Saya beranggapan bahawa tindakan beliau amat mengecewakan jika beliau seorang ikon yang digilai oleh ramai Muslim yang lain.

Sebagai seorang Muslim yang baik, mereka akan berhati-hati semasa memilih makanan. Apa-apa yang dimakan akan menjadi darah daging. Muslim yang baik akan berfikir dahulu sebelum memasukkan makanan ke dalam mulutnya.

Benar, memang bagus menjaga pemakanan yang seimbang tetapi lebih bagus jika diseimbangkan dengan makanan daripada sumber yang halal dan bersih serta daripada peniaga yang juga seorang muslim yang sebenar seperti tidak berkuku panjang, tidak berambut perang, tidak memakai rantai dan perhiasan lain yang tidak elok dipandang sebagai seorang Muslim. Kita perlu menjaga diri kita dan ahli keluarga daripada makan makanan yang syubhat bahkan daripada peniaga yang diragui keIslamannya.

Oleh sebab itu, kita digalakkan untuk berfikir dahulu sebelum membeli makanan di luar sebaliknya digalakkan memasak sendiri makanan yang hendak dimakan.

Ini Malaysia, negara Islam. Saranan saya jika mahu mempromosi, buat video daripada rakan bukan muslim yang mencuba makanan tersebut dan anda sebarkan. Bukan anda yang makan dengan penuh berselera.

Tidak salah mempromosi, Cuma perlu lebih berhati-hati,
Jangan sampai merosakkan hati.

Nurul Hajjar Atan,
Jawatankuasa Pembina Johor Bahru

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat