Hormati guru, resepi kejayaan pelajar Maahad Imtiyaz peroleh keputusan semua A SPM

Oleh Latifah Hashim

IPOH, 6 Mac – Amirul Aiman Bin Zabidin yang berjaya memperolehi keputusan 8 A dalam peperiksaan Sijil pelajaran Malaysia (SPM) 2019 semalam menyatakan bahawa antara perkara yang sentiasa diamalkan untuk berjaya adalah menghormati guru di dalam mahupun di luar kelas.

“Apa yang paling penting bagi saya ialah menjaga adab dengan guru. Selain itu, banyakkan membuat latihan soalan peperiksaan tahun lepas dan memohon doa dan redha dari ibu dan ayah”, kata Amirul Aiman dalam sesi temu bual melalui aplikasi Whatsapp.

Turut melahirkan rasa syukur, Amirul Aiman yang juga merupakan seorang hafiz Al-Quran amat berterima kasih kepada guru-guru yang banyak membantu dan menyokongnya selama ini.

“Terima kasih kepada semua guru atas tunjuk ajar yang diberikan serta tidak pernah jemu mendidik kami. Kejayaan saya dan rakan-rakan yang lain adalah berkat doa dan kesabaran guru-guru Maahad Imtiyaz .

“Saya dengan ini mewakili rakan-rakan yang lain memohon agar guru-guru menghalalkan segala ilmu yang telah diberi dan tidak putus mendoakan kejayaan kami di dunia dan juga di akhirat” tambahnya lagi.

Pasa masa yang sama, pengetua sekolah tersebut, Ustaz Haidar Mahmud berkata kejayaan yang dikurniakan oleh Allah ini adalah berkat usaha dan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi daripada para pendidik, ibu bapa serta para pelajar sendiri.

“Alhamdulillah Maahad Imtiyaz berjaya mendapat keputusan yang amat baik dalam SPM 2019. Ini merupakan kali pertama calon di sekolah ini mendapat keputusan semua A dalam peperiksaan SPM”.

“Sebagai sebuah sekolah agama, dengan sistem pendidikan yang ada di Maahad Imtiyaz ternyata telah berjaya melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam sahsiah dan peribadi, malah turut berjaya membuktikan kecemerlangan dalam akademik’, ujarnya.

Daripada 16 orang calon SPM pada tahun lalu, seorang telah berjaya memperoleh 8 A, dua orang 7 A, dua orang 6 A, dan seorang 5 A. Keputusan ini merupakan antara yang terbaik dalam sejarah sekolah ini kerana adanya calon yang mendapat keputusan A dalam semua mata pelajaran yang diambilnya.

Maahad Imtiyaz telah ditubuhkan pada tahun 2012 dan berpusat di Kampung Sungai Rapat, Ipoh sebelum berpindah ke bangunan baharu di Ulu Kuang, Chemor pada awal tahun 2018. Maahad Imtiyaz yang merupakan sebuah sekolah di bawah naungan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) cawangan Ipoh mempunyai seramai 17 orang guru termasuk guru akademik dan guru tahfiz.

Amirul Aiman, tiga dari kanan (baju putih) bergambar bersama Pengetua dan rakan-rakan

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat