BANGI, 5 Jun – “Hukuman ringan atau berat tidak mampu untuk mencegah pemandu mabuk,” kata Dr Shaiful Aizad, aktivis Isma Australia.
Menurutnya, kes kemalangan maut di Australia setiap tahun dianggarkan sebanyak 1,200 kes dan 30% daripadanya adalah disebabkan oleh arak.
Tambahnya walaupun Australia adalah antara negara yang mempunyai sistem pengawasan yang ketat berbanding negara-negara lain tetapi masih tidak dapat mengekang kes pemandu mabuk yang berleluasa.
Hal ini kerana orang yang mabuk memang tidak ada kewarasan dan gagal berfikir dengan betul.
“Sebab itu ada pemandu mabuk yang pandu kereta lawan arus dan sebagainya. Kadang-kadang, bagi yang minum tapi tak sampai ke tahap mabuk tapi akan buatkan tindak balas kita jadi perlahan, sedangkan bila bawa kereta kita perlu sentiasa berwaspada,” katanya yang pernah berkhidmat selama dua tahun sebagai doktor yang merawat pesakit berkaitan dadah dan alkohol di sana.
Selain itu juga, Shaiful berpendapat masalah terbesar arak ini adalah penjualan yang terbuka dan mudah didapati.
Oleh itu baginya, tindakan yang paling wajar dibuat oleh kerajaan Malaysia ialah dengan mengharamkan terus pengilangan dan penjualan arak di Malaysia.
“Kita tak rugi apa-apapun. Apalah sangat cukai penjualan yang kerajaan dapat tu, berbanding mempertaruhkan nyawa rakyat yang tak bersalah, pelbagai masalah kesihatan dan masalah sosial,” katanya yang sudah menetap di Australia selama 17 tahun.