Ibu bapa perlu bantu kembalikan semangat anak-anak ke sekolah

BANGI, 3 Julai – Kaunselor Berdaftar Dr. Sarifah Nurhanum Syed Sahuri menyarankan ibu bapa supaya membina kembali semangat anak-anak memandangkan ada sesetengah daripada mereka sudah hilang minat untuk ke sekolah.

Katanya tidak dinafikan sewaktu Perintah Kawalan ergerakan (PKP), rutin pelajar telah berubah seperti kaedah belajar di rumah yang tidak sama seperti di sekolah.

Oleh itu, Dr. Sarifah menasihati ibu bapa untuk membantu menyediakan minda anak-anak tentang kelebihan belajar di sekolah dan menekankan kepentingan menuntut ilmu.

“Selain itu juga, ibu bapa boleh membantu anak-anak dalam membuat persiapan ke sekolah seperti beg dan baju sekolah sebagai tanda sokongan dan memberi semangat kepada anak-anak untuk kembali ke sekolah dan belajar,” katanya.

Menurut Pensyarah Kanan (Pendidikan) Fakulti Pengajian Bahasa Utama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ini juga, ibu bapa boleh membuat simulasi kepada anak-anak tentang apa yang akan berlaku atau perlu dilakukan apabila berada di sekolah.

Pada masa yang sama, ibu bapa jangan memaksa anak-anak tetapi beri masa kepada mereka untuk menyesuaikan diri dengan norma baharu di sekolah.

“Sekiranya ibu bapa dapati anak-anak mengalami kerisauan segera kenalpasti masalah mereka.

“Bertanya sama ada mereka okey ataupun tidak dan beri mereka ruang untuk bercakap tentang kebimbangan mereka,” katanya lagi.

Ibu bapa harus bantu anak biasakan norma baharu

Selain itu juga Dr. Sarifah melihat pembukaan sekolah ini bakal menjadi medan ujian buat para pelajar untuk mempraktikkan prosedur yang digariskan KKM dan sekolah terutamanya dari segi penjarakan sosial.

Selain penjarakan sosial, timbul isu lain seperti gangguan emosi anak-anak kecil yang dihalang untuk bersosial secara normal.

“Perkara ini tidak menyekat, cuma lebih kepada kawalan kerana mereka masih boleh berinteraksi dengan rakan-rakan cuma perlu menjarakkan diri.

“Untuk melakukan aktiviti bersama perlu dipantau oleh guru. Jadi dalam tempoh dua minggu ini peranan ibu bapa sangat penting untuk melatih pelajar membiasakan diri dengan norma baharu,” katanya lagi.

Kelmarin Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan sekolah bakal di buka secara berperingkat kepada pelajar sekolah rendah dan menengah beserta prosedur penjarakan sosial bermula 15 julai ini.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat