Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah. Tahniah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin atas beberapa pembaharuan dalam kabinet yang baru dilantik.
Sebagai salah satu pengisian utama kepada kerajaan baru ini, saya cadangkan supaya identiti nasional diberi nafas baru dan diperkasakan untuk membina satu integrasi nasional yang lebih menyeluruh, bukan semata-mata integrasi parti-parti yang menjaga kepentingan masing-masing dalam kerajaan.
Identiti nasional ini hendaklah berpaksikan kepada identiti bangsa asal, identiti rumpun Melayu. Penekanan kepada bahasa Kebangsaan yang di kongsi bersama perlu diberi perhatian. Semua rakyat berbilang kaum mestilah boleh bertutur dan berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan. Integrasi dalam pendidikan juga perlulah diberi perhatian. Setelah lebih 60 pilih tahun merdeka, adakah masih perlu anak-anak kita membesar dalam persekitaran pendidikan yang terasing berasaskan etnik?
Usaha-usaha yang boleh memecahbelahkan kesatuan rakyat dan keharmonian hidup perlu ditangani dengan tuntas dan tidak diberi ruang untuk berkembang menjadi api dalam sekam, meniupkan semangat kebencian dan permusuhan. Usaha puak-puak evangelist, ajaran-ajaran sesat berpaksikan liberal, usaha menghidupkan ideologi komunis dan fahaman syiah perlu ditangani dengan menggunakan peruntukan undang-undang yang ada, atau sekiranya diperlukan, menggunakan akta-akta pencegahan yang baru.
Kedudukan Islam dan Raja-Raja Melayu perlu diperkukuhkan dengan penguatkuasaan undang-undang yang ada dan mewujudkan peruntukan undang-undang yang baru. Sebarang usaha menyebarkan ideologi pro-republikan perlu dilihat sebagai melanggar perlembagaan dan disekat dari berkembang. Usaha-usaha anti persekutuan, gerakan ‘defederalism’ juga perlu diberi perhatian dan jangan dibiarkan berleluasa kerana akan menyebabkan bahaya kepada kedudukan negara dalam jangka masa panjang.
Semua ancaman ini kita dapat lihat dengan terang dan diberi ruang untuk berkembang dalam kerajaan yang lalu. Jangan kita biarkan mereka terus berusaha memporak-perandakan negara ini.