BANGI, 21 Feb – Ikatan Guru-Guru Muslim malaysia (iGURU) menfaikan saman ke atas kerajaan untuk mencabar kewujudan sekolah-sekolah vernakular di Mahkamah Tinggi Kota Bharu semalam.
Menurut kenyataan peguam, Datuk Shaharudin Ali, iGURU memohon pengisytiharan bahawa Seksyen 17 dan 28 Akta Pendidikan 1996, yang membenarkan penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa penghantar di sekolah Cina dan Tamil, tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
Ujar Pengerusi iGURU, Ustaz Azizee Hasan tindakan itu dilakukan setelah melihat kewujudan sekolah-sekolah vernakular ini tidak menepati perkara 152 perlembagaan.
“Tujuan menfailkan saman ini bukan mahu menidakkan pembelajaran pelbagai bahasa tetapi untuk memastikan status Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan diangkat sebagai bahasa pengantar pendidikan.
“Mana-mana sekolah vernakular yang tidak memenuhi ciri ini boleh ditafsir menyangahi perkara 152 perlembagaan,” katanya ketika dihubungi.
Pada masa yang sama katanya, kewujudan sekolah-sekolah vernakular ini tidak membina intergrasi nasional.
Terdahulu, Naib Presiden Putra, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz mengemukakan saman yang sama terhadap kerajaan untuk mencabar penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar pengajaran di sekolah-sekolah vernakular.
Seksyen 17(1) menyatakan bahasa kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan kecuali sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan di bawah seksyen 28 atau mana-mana institusi pendidikan lain yang dikecualikan oleh Menteri daripada subseksyen ini.
Seksyen 17(2) pula menyatakan jika bahasa pengantar utama di sesuatu institusi pendidikan adalah selain daripada bahasa kebangsaan, maka bahasa kebangsaan hendaklah diajarkan sebagai mata pelajaran wajib di institusi pendidikan itu.
Seksyen 28 pula berkenaan penubuhan dan penyenggaraan sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan. Ia menyatakan, “tertakluk kepada peruntukan akta ini, menteri boleh menubuhkan sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan dan hendaklah menyenggarakan sekolah-sekolah itu.