Iklan Sugarbook: Cubaan Menormalisasikan Maksiat

Masyarakat di ibukota sangat terkejut apabila melihat papan iklan LED berunsur lucah SugarBook terpampang besar di tengah-tengah Kotaraya Kuala Lumpur, sekitar lokasi Bangsar dan Bukit Kiara. Ironinya sekitar tahun 2016 kita merasa izzah dengan iklan kemakmuran dan kesejahteraan yang dipetik dari al-Quran dan hadis terpampang pada bas-bas di Kota London namun berbeza pula di Kuala Lumpur yang merupakan bandaraya negara Islam mewarkan-warkan amalan tidak bertamadun seperti ini. Ia sungguh menjolok mata, sangat jengkel dan menjijikkan.

Kita sedia maklum bahawa sugar daddy atau lelaki berjaya yang memiliki perempuan simpanan adalah sesuatu perkara yang tidak dapat diterima oleh budaya timur dan tempatan apatah lagi daripada neraca Islam. Bagaimanakah iklan buruk ini boleh melepasi pihak berkuasa khususnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)? Promosi amalan jahiliyyah ini sudah pastinya membawa kepada keruntuhan institusi keluarga dan masyarakat.

Masyarakat sudah terlalu sesak dan sakit dengan serangan dan amalan songsang seperti LGBT dan pelbagai gejala sosial yang membawa malapetaka kepada kesejahteraan rakyat, apakah kita mahu menambah lagi bala yang tak mampu ditanggung? Jarum halus yang merosakkan masyarakat seperti ini sewajarnya dihalang dari awal supaya tidak menjadi normalisasi dan barah teruk yang tidak dapat diubati.

Pihak DBKL sewajarnya lebih berhati-hati dan tidak memikirkan soal keuntungan semata-mata serta perlu mengutamakan kesan moral dan sosial kepada masyarakat. Garis panduan pengiklanan yang mementingkan nilai dan etika masyarakat sepatutnya diwujudkan dan dipatuhi sepenuhnya.

Walau bagaimanapun, ISMA Kuala Lumpur menghargai tindakan pantas DBKL yang telah mengeluarkan arahan kepada Yayasan Wilayah Persekutuan (pelesen struktur iklan) dan pihak Out of Home selaku operator untuk menurunkan segera iklan tersebut dan mengeluarkan amaran kepada operator untuk lebih sensitif dalam menyiarkan kandungan iklan yang mempunyai unsur-unsur buruk dan bertentangan dengan budaya setempat.

 

 

Dr Osman Md Rasip
YDP ISMA Kuala Lumpur

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat