Keputusan SPM 2019 telah diumumkan. Pelbagai reaksi murid dan ibu bapa kita boleh lihat hasil keputusan yang pelbagai itu. Apa pun keputusan, tahniah diucapkan kepada semua. Apa juga keputusan, perjalanan masih lagi panjang. Kecemerlangan tidak bergantung sepenuhya kepada keputusan SPM.
Sedikit nasihat saya kepada ibu bapa:
1. Jangan terlalu emosi dengan apa juga keputusan peperiksaan anak-anak. Samada terlalu gembira atau terlalu sedih. Jangan juga zahirkan emosi itu secara berlebihan kerana ianya boleh memberi mesej yang salah kepada anak-anak. Anak yang cemerlang mungkin akan rasa besar diri. Anak yang kurang cemerlang mungkin akan jadi pesimis.
2. Kaitkan apa juga keputusan yang dicapai itu dengan faktor sekeliling yang pelbagai agar berlaku adil. Jangan sempitkan hanya kepada satu atau dua faktor sahaja. Kadang-kadang ibu bapa lupa berterima kasih kepada guru tingkatan 3 yang mengajar anaknya dua tahun lepas hingga cemerlang di SPM. Dan tidak kurang juga yang lupa bahawa sikap acuh tak acuh mereka ( ibu bapa) juga memberi saham kepada kurang cemerlangnya keputusan SPM sang anak.
3. Anak berumur 18 tahun hanyalah seorang manusia kecil yang masih lagi belum matang sepenuhnya. Kesempurnaan akal, jasad dan emosi manusia akan dicapai ketika berumur 40 tahun. Jangan cuai dalam membimbing anak dalam baki 22 tahunnya untuk menuju kesempurnaan. Menghadapi alam kerjaya, perkahwinan dan masyarakat di luar lingkungan keluarga adalah cabaran yang lebih perit dari bersengkang mata untuk SPM. Ramai pelajar cemerlang yang kecundang di tiga alam tersebut.
4. Masa depan anak perlu dibimbing tapi tidak boleh dipaksa. Ibu bapa jurutera dan doktor kemungkinan melahirkan anak berjiwa seni. Beri peluang kepada anak untuk menentukan dia mahu jadi apa. Ambil nasihat Saidina Ali ra yang menyarankan agar anak 18 tahun di kawal seperti layang-layang. Pegang talinya dengan pegangan yang longgar. Biarkan ia terbang bebas dan pastikan selamat. Sentap talinya balikkan ke asal apabila ia sudah tersasar.
5. Pandanglah anak-anak rakan yang lain seperti anak-anak sendiri. Bergembira dengan kegembiraan mereka dan bersedih dengan kesedihan mereka. Zahirkan perasaan itu hingga dirasai oleh rakan-rakan. Ambil berat terhadap anak-anak mereka dan berganding bahu untuk kecemerlangan semua anak-anak. Anak-anak kita akan hidup lama bersama anak-anak rakan kita.
Sedikit nasihat dari calon SPM 1988 SMAP Labu yang kini menjadi bapa kepada tujuh anak.
Ustaz Fauzi Asmuni
Timbalan Presiden Isma