MINGGU ini tular sebuah klip video Jalur Gemilang dipasang terbalik di sebuah premis sekitar Klang yang mencetuskan kemarahan netizen kerana isu sebegini berulang kembali walaupun sudah berlaku berkali-kali. Saya harap ini bukanlah suatu normalisasi sehingga satu hari nanti kita tiada lagi sensitiviti terhadap insiden sebegini.
Pemilik premis akhirnya tampil memberikan penjelasan mengatakan insiden tersebut dengan alasan ‘tersalah pasang’. Kita hairan kerana alasan yang sama digunakan oleh mana-mana pihak yang terlibat dengan insiden ini. Apakah ini hanya kebetulan?
Syabas kepada individu yang menyedari akan insiden ini dan telah membuat laporan polis. Ini adalah tindakan yang lahir dari semangat patriotik dan cintakan negara yang tinggi.
Sememangnya jalur gemilang merupakan kebanggaan dan maruah negara. Tahap sensitiviti yang tinggi terhadap perkara sebegini sepatutnya ada dalam diri setiap warganegara Malaysia merentas kaum dan agama kerana semangat inilah yang menyatukan kita semua.
Hj Aminuddin Yahaya
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)