Rusuhan Parit Raja : ISMA Johor Gusar Jika Anak Muda Dijadikan Alat Politik

JOHOR BAHRU, 16 Mei – Isma Johor turut mengikuti insiden rusuhan melibatkan sekumpulan anak muda yang berlaku di Parit Raja, Batu Pahat pada malam Aidilfitri lalu. 

Pelbagai pihak telah mengeluarkan kenyataan dan tidak kurang juga yang terus menawarkan khidmat guaman bagi membantu keluarga sekumpulan belia yang telah ditahan oleh pihak polis bagi membantu siasatan.

Isma Johor melahirkan kegusaran atas peristiwa tersebut kerana ianya ialah suatu naratif yang dibawa oleh pihak-pihak berkepentingan untuk tujuan tertentu. Perkara yang pasti adalah mereka ingin menzahirkan rasa tidak puas hati kepada kerajaan atas kelemahan pentadbiran dalam mengurus tadbir negara pada ketika ini.

Perbuatan yang dizahirkan oleh anak muda dalam peristiwa tersebut yang dianggap kebebasan bersuara merupakan manifestasi kepada kemarahan rakyat terhadap kerajaan sedia ada. Senario ini perlu diambil perhatian serius oleh kerajaan.

Isma Johor meminta mereka yang tidak berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan menggunakan saluran yang dibenarkan dan bukannya melalui demontrasi jalanan yang menyusahkan orang awam. Kita tidak mahu berulangnya lagi demontrasi jalanan ‘ Bersih ‘ untuk menjatuhkan kerajaan.

Isma Johor sentiasa konsisten dan akan terus melaksanakan pelbagai pendekatan bagi tujuan mendidik dan membangunkan masyarakat terutama anak muda. Pendekatan seperti kerja-kerja sukarelawan dan khidmat masyarakat melalui Relawan Muda contohnya amat memerlukan tenaga orang muda yang harus didedahkan dan disibukkan dengan aktiviti sebegini bagi membawa mereka merasai sendiri kepayahan dan kesusahan masyarakat bukan dengan cara yang salah seperti hal yang berlaku ini.

Adalah diharapkan mana-mana pihak agar berhenti menggunakan anak muda sebagai alat politik mereka dengan cara yang salah sebaliknya ajarkanlah mereka erti perjuangan sebenar dan semangat cintakan tanah air seperti saudara-saudara kita di Palestin yang sedang berjuang mempertahankan tanah air kini.

 

Tuan. Hj. Mohd tahir bin Hamdan

Ketua Perhubungan ISMA Negeri Johor

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat