ISMA Kuala Lumpur Sambut Baik Keputusan DBKL Larang Kedai Runcit Jual Arak

oleh: Mohammed Rasheedan Ellin

Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Kuala Lumpur menyambut baik keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk tidak membenarkan kedai runcit menjual arak mulai Oktober 2021, yang dinyatakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa dalam ciapan di laman Twitter baru-baru ini.

Menurut Yang di-Pertua ISMA Kuala Lumpur, Dr. Osman Md Rasip, keputusan yang selari dengan perintah Islam untuk menjauhi arak ini perlu disyukuri dan disokong sepenuhnya oleh setiap lapisan masyarakat, tidak mengira bangsa atau agama, walaupun masih terdapat suara-suara sumbang yang mengatakan pelaksanaan peraturan sebegini akan membawa Malaysia berundur ke belakang.

Beliau juga berharap pihak DBKL tetap teguh dengan keputusan tersebut dan tidak bertolak ansur dengan desakan persatuan peniaga arak yang mahukan sebaliknya. Setelah garis panduan tersebut dilaksanakan kelak, beliau berharap agar tindakan pemantauan dan penguatkuasaan berjalan dengan tegas.

Dalam kenyataan lain, Ketua Biro Dakwah ISMA Kuala Lumpur, Ahmad Firdaus Adzme menyatakan bahawa usaha melarang penjualan arak ini akan sedikit sebanyak dapat membendung kes kemalangan jalan raya melibatkan pemandu mabuk yang saban hari mengorbankan nyawa penduduk awam yang tidak berdosa.

Rata-rata masyarakat Islam di negara ini menyambut baik usaha nahi mungkar ini kerana arak yang telah sekian lama menjadi antara punca kerosakan masyarakat, dijual secara berleluasa di kedai-kedai runcit sekitar ibu negara.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat