KUCHING, 25 Ogos – Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) cawangan Petra Jaya telah mengadakan pertemuan dengan Dewan Bandaraya Kuching Utara pagi tadi untuk menyerahkan surat cadangan penambahan tulisan Jawi pada papan tanda jalan-jalan utama di Bandaraya Kuching.
Menurut Yang Dipertua Isma Petra Jaya, Mohammad Afiq Shazwan bin Abd. Samat, cadangan ini merupakan satu sokongan kepada Old Kuching Smart Heritage (OKSHe) anjuran kerajaan negeri bagi memperingati sejarah Kuching dan mempromosikan budaya setempat.
“Pada masa yang sama, kita mahu menghargai legasi sejarah tulisan Jawi sebagai sistem tulisan rasmi pemerintah di Sarawak sejak dahulu lagi. Jika kita lihat pada sejarah, tulisan Jawi telah digunakan sejak zaman Empayar Brunei sehingga Dinasti Brooke. Malah, tulisan Jawi turut digunakan dalam dokumen Pemasyhuran Malaysia bertarikh 16 September 1963,” katanya ketika dihubungi.
Tambahnya lagi, usaha ini dilihat sebagai salah satu cara untuk memperkenalkan tulisan tradisi kaum Melayu/Bumiputera Sarawak kepada pelancong dari luar negara.
Antara kawasan bersejarah yang termasuk dalam cadangan tersebut ialah papan tanda jalan di kawasan Kampung Melayu iaitu Tapak Persaudaraan Masjid Bintangor Haji Taha, Masjid Besar Kuching dan Rumah Warisan Haji Taha/Darul Kurnia. Monumen bersejarah pula termasuk Old Court House dan Balai Polis Sentral serta kawasan warisan perniagaan seperti India Street, Carpenter Street, China Street dan beberapa tempat lain lagi.
Tebingan Sungai Sarawak, Kuching Waterfront, Kampung Boyan, Sungei Lajim dan Kubah Ria juga termasuk dalam cadangan untuk penambahan tulisan Jawi pada papan tanda jalan.
Ujarnya lagi, hasrat ini adalah sebagai satu usaha sempena Hari Sarawak, Hari Merdeka dan Hari Malaysia demi menghargai warisan sejarah dan bangsa, selain menyemarakkan perasaan cinta akan negara melalui tulisan Jawi.