ISMA Sokong Iniasiatif Kementerian Pengajian Tinggi Keluarkan Garis Panduan Konsert di IPT

Mengulas berkenaan sekumpulan mahasiswa yang berhimpun di hadapan Kementerian Pengajian Tinggi bagi membantah perlaksanaan garis panduan penganjuran konsert dalam kampus, kumpulan mahasiswa tersebut tidak mewakili majoriti mahasiwa di negara ini. Apatah lagi lagi mereka tidak memperlihatkan kecintaan mereka terhadap jatidiri dan identiti nasional.
 
Jika benar mereka cintakan negara, kenapa mereka memilih untuk memperjuangkan bantahan terhadap perlaksanaan garis panduan ini? Bukankah garis panduan ini bertujuan menghalang normalisasi pengaruh negatif luar seperti unsur LGBT, pergaulan bebas tanpa batas dan “moshing” yang secara terang bukanlah budaya tempatan kita. Janganlah merendahkan martabat golongan mahasiswa kerana hanya mengangkat perjuangan hiburan bebas tanpa batas.
 
Sebagai generasi pelapis kepimpinan negara, mahasiswa sepatutnya memperjuangkan isu yang lebih besar seperti mengangkat agenda perpaduan nasional atau kepimpinan kampus untuk memajukan negara.
 
Jika benar mereka cintakan negara, kenapa tidak menggunakan Bahasa Kebangsaan untuk menyanyikan lagu “Saya Anak Malaysia”? Pasti ada agenda tersirat yang cuba disampaikan oleh kumpulan kecil mahasiswa ini. Ini tidak lain hanya percubaan pihak-pihak tertentu yang cuba mempergunakan kumpulan mahasiswa untuk menormaliasikan arus liberal kebebasan tanpa batas dan agenda Malaysian Malaysia yang sangat asing dengan identiti nasional.
 
Mengisi kemerdekaan jauh lebih mencabar dari kemerdekaan yang telah dicapai 66 tahun yang lepas. Kita mahukan negara Malaysia ke mercu kejayaan tanpa kita hilang jatidiri dan identiti negara kepada pengaruh luar yang merosakkan. ISMA menyokong inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi untuk mengeluarkan garis panduan pengendalian konsert di dalam kampus IPT. Ia bukanlah penghalang kepada autonomi mahasiswa untuk bebas beraktivisme di dalam kampus kerana garis panduan ini akan memandu dan memelihara jatidiri mahasiswa supaya berteraskan identiti nasional.
 
Tn. Nasrul Muhaimin Mohd Taib
Naib Presiden ISMA
Ketua Jabatan Pembangunan Sumber Insan

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat