Jangan Normalisasi Dosa Zina

Baru-baru ini, tular kisah pasangan beragama Islam yang mengaku bersekedudukan dengan alasan tidak mampu untuk berkahwin kerana perlu mendahulukan kesihatan anak yang memerlukan perhatian telah mengejutkan masyarakat.

Ada segelintir warganet yang berpendapat bahawa bersekedudukan itu adalah dosa mereka dengan Tuhan, dan yang penting mereka menjaga anak tersebut dengan baik. Malah, ada yang beranggapan bahawa rezeki yang diperolehi adalah balasan atas perbuatan mereka menjaga kebajikan anak.

Isu ini sebenarnya tidak boleh dipandang remeh. Perbuatan zina tetap salah dan berdosa besar di sisi Allah S.W.T, kerana ia merosakkan institusi kekeluargaan dan masyarakat secara keseluruhan. Ia bukan sahaja membawa mudarat kepada individu yang terlibat, tetapi kemudaratannya akan berbalik kepada masyarakat, terutamanya apabila umat Islam hilang sensitiviti dan merasakan zina adalah suatu benda yang biasa. Tambahan pula, apabila perbuatan tersebut sudah diwar-warkan secara terang, ia sudah tidak lagi menjadi dosa dengan Tuhan sahaja, malah menjadi tanggungjawab kita sebagai umat Islam untuk mencegah dan menolak sebarang penerimaan terhadap perbuatan ini.

Sebagai umat Islam, kita melihat kehidupan ini melalui kacamata akhirat, berbeza dengan pandangan Barat yang melihat kehidupan ini hanya berakhir di dunia. Bagi kita, pengakhiran kehidupan di dunia hanyalah sebuah permulaan kepada kehidupan yang sebenar di akhirat. Kita percaya setiap amalan akan dihitung, dan adanya balasan dan azab Allah S.W.T di akhirat. Oleh kerana itu, kita menasihati mereka untuk bertaubat dan menegah apa yang mereka lakukan kerana tidak mahu mereka sebagai saudara seagama kita terjatuh ke dalam kecelakaan.

Tanggungjawab mencegah kemungkaran ini bukan sahaja terletak di bahu individu yang bergelar ustaz atau badan agama sahaja, tetapi juga kepada semua individu yang bergelar muslim kerana itulah yang membuktikan kesaksian (syahadah) kita kepada Allah dan Rasul. Dengan mengabaikan tanggungjawab ini, kita secara tidak langsung membiarkan kemaksiatan berkembang dan mengundang bala dan kemurkaan Allah kepada kita.

Allah S.W.T Maha Pemurah dan mengurniakan rezeki kepada semua makhluk-Nya, hatta orang kafir sekalipun. Oleh itu, tidak wajar untuk kita menghalalkan kesalahan yang dilakukan hanya kerana seseorang telah melakukan kebaikan seperti menjaga kebajikan anak kecil. Namun, dalam masa yang sama, Allah S.W.T juga Maha Pengampun dan Maha Penerima Taubat bagi mereka yang benar-benar bertaubat dan mengejar keampunan-Nya.

Kesimpuannya, dalam menghadapi isu seperti ini, adalah penting untuk umat Islam menilai dan bertindak berdasarkan neraca pertimbangan agama, bukan berlandaskan emosi. Kita seharusnya menolak sebarang budaya dan normalisasi semua perbuatan yang bertentangan dengan Islam dan merosakkan tatanan masyarakat, sama ada dalam komuniti, media sosial, industri perfileman dan sebagainya, demi kesejahteraan di dunia dan akhirat.

Dr. Siti Sarah binti Amran
Ketua Biro Keluarga dan Masyarakat ISMA

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat