BANGI, 27 November – Kelab Remaja ISMA (KRIM) dengan kerjasama Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) bakal menganjurkan Jambori Remaja Islam (JIRIM) 2026 secara serentak di enam zon utama seluruh Malaysia pada 5 hingga 6 Disember 2026.
Mengangkat tema “Ini Masa Kita”, jambori berimpak tinggi selama dua hari satu malam ini menyasarkan penyertaan seramai 1,000 orang remaja berumur 13 hingga 16 tahun merangkumi Zon Utara, Zon Tengah, Zon Timur, Zon Selatan, serta Borneo (Pantai Barat dan Pantai Timur).
Pengerusi Kelab Remaja ISMA (KRIM), Mohammad Riduan bin Muhammad berkata, penganjuran JIRIM 2026 dirangka khusus bagi menyediakan alternatif pengisian cuti sekolah yang bermakna iaitu sebagai medan membentuk karakter remaja ; berakhlak, berilmu, berkepimpinan, lasak dan peduli.
“Pembangunan karakter bukan kerja sehari dua, tetapi perlu melalui proses yang panjang dan JIRIM menjadi pintu masuk kepada perjalanan pembangunan remaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, JIRIM 2026, merupakan sebuah perhimpunan remaja secara nasional yang menjadi ruang untuk membina identiti, rasa kebersamaan dan hala tuju generasi muda.
JIRIM bukan sekadar perkhemahan biasa, sebaliknya menggabungkan modul bersepadu merangkumi aktiviti lasak, explorace, pembinaan kerja berpasukan (team building), latihan kepimpinan, pengukuhan ukhuwah, serta pengisian kerohanian dan refleksi diri.
Sehubungan dengan itu, KRIM menyeru ibu bapa dan penjaga agar merebut peluang mendaftarkan anak-anak mereka bagi menyertai perhimpunan nasional ini.
Maklumat lanjut dan pendaftaran bagi JIRIM 2026 boleh dibuat secara dalam talian menerusi pautan rasmi Pendaftaran JIRIM 2026 atau dengan mengikuti perkembangan terkini di laman rasmi Kelab Remaja ISMA (KRIM).
INFO : KRIM, sebuah kelab khusus untuk remaja yang membawa pendekatan pembangunan remaja yang berterusan melalui lima teras pembentukan: Berakhlak, Berilmu, Berkepimpinan, Lasak dan Peduli. Pendekatan ini diterjemahkan melalui Akademi Remaja Kebangsaan (ARK), sebuah Modul Pembangunan Remaja sepanjang tahun yang menggabungkan tarbiah, aktiviti fizikal, khidmat masyarakat, kepimpinan dan kemahiran sosial.

