1. Jutaan tahniah dan selamat menjalankan tugas dengan penuh ketaqwaan dan kekuatan diucapkan kepada barisan kabinet baharu yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia ke-8
2.Mereka dilantik ke puncak kepimpinan dalam keadaan geopolitik dunia dan iklim negara yang sangat getir. Pertembungan keras dua kuasa besar dunia US vs China, penyebaran wabak Covid-19, penurunan mendadak harga minyak mentah dunia (USD 31/barrel dan semakin menurun), kemelesetan ekonomi global, ancaman OBOR serta pelbagai agenda sesat (liberalisme, humanisme, feminisme, LGBT, syiah) yang saban hari merosakkan jatidiri anak muda Malaysia. Itu belum dikira pelbagai kerosakan besar yang dilakukan oleh para pimpinan negara dari PH yang didominasi parti rasis DAP sebelum ini
3.Gabungan ahli politik berpengalaman, teknokrat dan pakar dalam pelbagai bidang pastinya menjanjikan hasil yang jauh berbeza setelah sekian lama politik negara diwarnai oleh ‘stereotype’ para menteri yang dilantik berdasarkan merit jawatan dan pengaruh dalam parti politik yang diwakilinya
4.Tindakan berani TSMY mewujudkan jawatan 4 menteri kanan bagi menggantikan fungsi TPM dan melakukan rombakan beberapa kementerian utama juga wajar dipuji. Walaupun bukanlah sesuatu yang baharu kerana ia cuma mengadaptasi struktur kebanyakan syarikat korporat, namun perubahan seperti ini diperlukan untuk mencetus sedikit keterujaan. Apapun motif TSMY, samada tidak mahu memberikan indikator pengganti beliau atau ingin mengelakkan perbalahan sesama parti utama atau benar-benar mahu membina pasukan yang efektif dan mapan, hanya masa yang akan membuktikannya
5.Perlantikan 6 senator termasuk 2 daripadanya untuk jawatan menteri penting (kewangan dan hal ehwal agama) juga merupakan perubahan yang amat positif. Tambahan pula YM Tengku DS Zafrul dan DS Dr Zulkifli adalah ‘subject matter expert (SME)’ dalam portfolio yang dipegang mereka masing-masing
6.Namun, saya juga berpandangan perlantikan beberapa menteri PH yang terpalit pelbagai kontroversi seperti DS Azmin Ali, DS Annuar Musa, DS Dr Wee Jeck Seng dan Zuraidah sedikit mendukacitakan. Begitu juga perlantikan DS Reezal Merican dan Wan Ahmad Fayhsal dalam Kementerian Belia dan Sukan kelihatan amat canggung dan pelik
7.Apa yang lebih merisaukan saya ialah adakah barisan kabinet ini benar-benar mampu mengangkat agenda memperkasakan Melayu Islam dalam senario politik negara? Sungguh, komposisi menteri Melayu beragama Islam yang majoriti semata-mata tidak memadai
8.Secara jujur, tidak banyak yang boleh diharapkan dari para menteri UMNO (10 Menteri) yang dikitar semula kerana selama mereka berada di tampuk kekuasaan dalam kerajaan terdahulu pun nasib bangsa majoriti di bumi pertiwi tidak terbela dengan baik. Manakala PAS yang membawa aspirasi Islam pula hanya diberi peluang menerajui kementerian yang agak kurang strategik iaitu Alam Sekitar dan Perusahaan, Perladangan & Komoditi serta 5 jawatan Timbalan Menteri. Hanya Menteri JPM (Parlimen & Undang-Undang) yang disandang wakil PAS dikira strategik pada pandangan saya. Selebihnya wakil parti BERSATU (9 Menteri) yang rata-rata amat baru dan kurang pengalaman mendominasi kementerian-kementerian yang strategik. Kita semua maklum, BERSATU turut mempunyai DNA UMNO
9.Sambil menyimpan harapan setinggi gunung agar kepimpinan baharu negara ini akan mampu membawa perubahan, saya amat risau jika ‘orang lama’ UMNO dan BERSATU tidak pernah mahu bertaubat dan masih dengan perangi lama, manakala para ulama’ dan teknokrat berjiwa Islamis pula mungkin terperangkap dalam kesibukan pengurusan serta agenda membangun kebajikan material rakyat semata-mata. Sedangkan apa yang diharapkan ialah kerangka kepimpinan negara Islam model yang bukan sahaja mampu memimpin rakyat berbilang kaum di Malaysia, namun turut menjadi teras perpaduan Melayu Islam di Nusantara dan bapa kepada negara-negara Islam lain di seluruh dunia!
10.Untuk tujuan itu, selepas pembentukan kabinet, saya ingin lihat TSMY dan barisan kabinet baharu beliau membentangkan susuk tubuh negara yang ingin dibina serta pendirian teras mereka terhadap beberapa perkara asas seperti kedudukan Islam, Melayu dan Raja dalam pembentukan identiti Malaysia, pemerkasaan sistem perundangan, ekonomi dan pendidikan Islam bersepadu, perpaduan serta integrasi nasional (bahasa, budaya & taat setia), kedudukan sekolah vernakular dan UEC, pengganas LTTE, zionist, evengelist, komunis serta syiah, peranan Malaysia dalam dunia Islam serta pelan tindakan bagi menyekat ancaman negeri keluar Malaysia dan juga ancaman kuasa-kuasa besar dunia terhadap kedaulatan negara
Kemudian barulah rakyat boleh membuat penilaian sebenar tentang kualiti kabinet yang baru dibentuk ini
Kami sentiasa mendoakan yang terbaik demi agama, bangsa dan tanahair yang amat dicintai ini
Ya Allah, bantulah mereka dan kami semua!
Ir. Lukman Al Hakim
JKP Isma