“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.” (Surah Al-Baqarah: 183-184)
Puasa dalam bahasa arab bermaksud menahan diri. Menurut ahli feqah puasa bermaksud menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar sehingga terbenamnya matahari dan disertai dengan niat.
Ibadah puasa mempunyai pelbagai manfaat menurut perspektif kesihatan. Antara kelebihan berpuasa ialah dapat membantu menurunkan berat badan sekaligus mengurangkan risiko penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi. Selain itu berpuasa juga merupakan salah satu cara untuk menyingkirkan toksin dalam badan dan dapat membantu meningkatkan sistem imunisasi badan.
Antara syarat wajib puasa menurut Islam adalah berkemampuan untuk menunaikan ibadah puasa. Bagi individu yang sihat, ibadah puasa bukanlah sesuatu yang sukar untuk dilaksanakan.
Namun begitu, bagi individu yang mempunyai masalah kesihatan seperti penyakit kencing manis dan masalah buah pinggang, ibadah puasa perlu dilaksanakan dengan penuh berhati-hati bagi mengelakkan kemudaratan kepada tubuh badan.
Antara dilema yang selalu dihadapi oleh pesakit kronik seperti ini ialah bagaimanakah cara pengambilan ubat yang betul? Apakah tanda-tanda yang perlu diperhatikan ketika menunaikan ibadah puasa bagi mengelakkan komplikasi?
Secara umumnya, pesakit perlu melakukan pengubahsuaian terhadap masa pengambilan ubat di bulan Ramadan. Namun begitu, pesakit dinasihatkan untuk merujuk kepada doktor dan ahli farmasi terlebih dahulu bagi memastikan ubat-ubatan yang diambil adalah selamat dan berkesan.
Penggunaan Inhaler (Ubat Sedut)
Inhaler digunakan untuk merawat penyakit lelah (asma) dan penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD). Inhaler boleh dikategorikan kepada dua jenis iaitu pelega dan pencegah. Persoalan hukum menggunakan inhaler ketika berpuasa telah dikupas oleh Sahibus Samahah Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri dalam Irsyad Al-Fatwa Khas Ramadan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Menurut beliau, pandangan ulama’ berkaitan persoalan ini terbahagi kepada dua.
Sebahagian besar ulama’ seperti Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi berpendapat ianya tidak membatalkan puasa kerana kuantiti bahan di dalam inhaler yang masuk ke dalam kerongkong dan seterusnya ke dalam perut adalah terlalu sedikit dan dimaafkan.
Keadaan ini diqiyaskan seperti berkumur dan memasukkan air ke dalam hidung ketika berwudhu’. Manakala ulama’ seperti Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhayli berpendapat penggunaan inhaler membatalkan puasa dan hanya boleh digunakan ketika sakit.
Pesakit dibenarkan untuk berbuka puasa dan perlu menggantikannya pada waktu yang lain. Menurut Sahibus Samahah Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri lagi “Setelah melihat kepada kedua-dua pendapat, kami lebih cenderung mengatakan bahawa penggunaan inhaler di siang hari bulan Ramadhan tidak membatalkan puasa”.
Pengecualian yang diberikan kepada pesakit untuk menggunakan inhaler ketika berpuasa juga dapat membantu melancarkan proses rawatan ketika serangan asma. Ini kerana terdapat pesakit yang menolak rawatan menggunakan inhaler dan nebulizer sebagai pelega seperti MDI Salbutamol ketika berpuasa dan sanggup menunggu sehingga waktu berbuka puasa untuk mengunakannya.
Manakala penggunaan inhaler berfungsi sebagai pencegah seperti MDI Budesonide dan Flixotide boleh digunakan diluar waktu berpuasa iaitu ketika bersahur dan selepas berbuka puasa.
Pesakit Kencing Manis
Pesakit kencing manis adalah antara golongan yang kerap menghadapi masalah ketika berpuasa di bulan Ramadan. Ini kerana risiko berlakunya hipoglisemia (kepekatan gula dalam darah yang kurang daripada kepekatan normal) dan hiperglisemia (kandungan gula dalam darah yang tinggi daripada paras normal) amat tinggi .
Kajian EPIDIAR (Epidemiology of Diabetes and Ramadan) menunjukkan risiko pesakit kencing manis jenis dua untuk mendapat hipoglisemia sehingga dimasukkan ke dalam wad meningkat sebanyak 7.5 kali ganda. Manakala risiko untuk mendapat hiperglisemia sehingga pula meningkat sehinga lima kali ganda ketika berpuasa.
Bagi mengurangkan risiko tersebut, pengubahsuaian terhadap dos dan waktu pengambilan ubat rawatan kencing manis di bulan Ramadan perlu dilakukan. Sebagai contoh, insulin yang perlu disuntik 30 minit sebelum sarapan pagi perlu disuntik 30 minit sebelum sahur.
Manakala insulin yang perlu disuntik 30 minit sebelum makan tengahari tidak perlu disuntik ketika berpuasa kerana akan menyebabkan hipoglisemia. Oleh itu, pesakit dinasihatkan untuk berbincang dengan doktor dan ahli farmasi untuk memastikan rawatan yang diambil adalah selamat dan berkesan ketika berpuasa di bulan Ramadan. Pesakit juga perlu mengenal pasti tanda-tanda hipoglsemia apabila berpuasa seperti pening, keliru, peluh dingin dan menggeletar.
Sekiranya terjadi, pesakit perlu menguji paras gula dalam darah dengan segera dan berbuka puasa serta merta jika paras gula dalam darah kurang daripada 3.3mmol/l.
Ibadah puasa di bulan Ramadan mengajar kita supaya menjaga kesihatan tubuh badan dengan sebaiknya. Ambillah manfaat di bulan yang mulia ini untuk meningkatkan tahap kesihatan dengan mengamalkan pemakanan dan gaya hidup yang sihat. Janganlah dirosakkan ibadah puasa disiang hari dengan mengikut hawa nafsu ketika berbuka.
Natijahnya badan akan menjadi letih sehingga menyebabkan kita tidak mampu untuk menghidupkan malam bulan Ramadan dengan amalan solat fardhu berjemaah dan solat sunat terawih. Amat rugilah bagi mereka yang dapat melalui bulan Ramadan tetapi tidak berjaya meraih keredhaan dan keampunan Allah SWT.
Dariwayatkan daripadaAbu Hurairah R.A:
Ketika Nabi SAW menaiki mimbar, Baginda SAW bersabda: “Amin, Amin , Amin (sebanyak 3 kali)”. Baginda SAW ditanya: “Wahai Rasulullah, apabila engkau menaiki mimbar, engkau telah berkata amin, amin , amin”. Maka Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Jibril AS telah datang kepadaku, lalu dia (Jibril) berkata: Barangsiapa yang bertemu dengan bulan Ramadhan tetapi tidak diampunkan baginya maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka serta dijauhkan (daripada rahmat) oleh Allah SWT. Katakanlah (wahai Muhammad): Amin. Maka aku katakan: Amin”. [Riwayat Ibn Hibban, no. Hadith 907]
Wallahua’lam.
Rujukan
- Irsyad al-fatwa khas ramadhan #15: hukum menggunakan inhaler ketika berpuasa, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
- Practical Guide to Diabetes Management in Ramadan
- Risalah Puasa & Ubat, Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia
- Sumber: Risalah Puasa & Ubat, Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia
Disediakan oleh:
Mohd Nizam Bin Md.Saad
Yang di-Pertua Isma Kuala. Pilah
Ahli Farmasi