DENGKIL, 15 Mei – Kajian terbaharu yang dijalankan oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Sepang mendedahkan wujudnya kelompongan utama dalam institusi keluarga masa kini apabila sebahagian keluarga yang berpendidikan tinggi serta berpendapatan baik didapati masih berdepan tekanan kerjaya dan tuntutan materialistik yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rumah tangga.



Dapatan kajian menunjukkan bahawa pencapaian akademik dan kestabilan ekonomi semata-mata tidak menjamin pembentukan institusi keluarga yang kukuh sekiranya aspek nilai, tarbiah dan keseimbangan kehidupan tidak diberi perhatian sewajarnya.
Antara isu utama yang dikenal pasti ialah penggunaan gajet yang tidak terkawal dalam kalangan remaja sehingga mendedahkan mereka kepada ketagihan bahan lucah, komunikasi yang tidak sihat antara penjaga dan anak-anak akibat kesibukan kerjaya, tekanan kewangan dalam kalangan anak muda disebabkan kecenderungan terhadap hiburan dan gaya hidup materialistik, serta pengabaian ibadah asas akibat kekurangan ilmu dan dorongan daripada penjaga.
Menurut Yang Dipertua ISMA Sepang, Ustaz Ibrahim Mohd Hasan, hasil kajian tersebut bukanlah sesuatu yang mengejutkan, malah mengesahkan pelbagai laporan dan kebimbangan yang telah dibangkitkan sebelum ini berkaitan kemerosotan kualiti institusi keluarga dalam masyarakat.
“Realiti semasa perlu diakui dan diinsafi secara jujur. Pendekatan sedia ada yang digunakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini dilihat belum cukup berkesan untuk menangani akar permasalahan yang sebenar,” katanya semasa Sesi Libat Urus Kepimpinan Masyarakat Jenderam Hilir anjuran ISMA Sepang Sabtu lalu.


Ustaz Ibrahim menegaskan bahawa cabaran ini menuntut usaha kolektif yang lebih tersusun melibatkan pimpinan masyarakat, agensi agama, institusi pendidikan serta pihak kerajaan untuk menggembleng tenaga secara bersama.
“Antara kelemahan utama dalam menangani isu kekeluargaan pada masa ini ialah tindakan kebanyakan agensi dan institusi yang masih bergerak secara silo mengikut bidang tanggungjawab masing-masing, sekali gus menyukarkan pembentukan solusi menyeluruh,” katanya lagi.
Sehubungan itu, ISMA Sepang menyeru agar diwujudkan projek intervensi bersifat holistik dan bersepadu bagi mengubah realiti semasa ke arah pembentukan komuniti cemerlang yang berteraskan konsep Ummah Fadhilah.


Konsep tersebut menekankan pembinaan masyarakat yang seimbang dari sudut akhlak, kerohanian, kekeluargaan dan tanggungjawab sosial, selaras dengan aspirasi melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik dan ekonomi, tetapi turut kukuh dari segi jati diri, nilai keagamaan dan daya tahan sosial.
ISMA berpandangan bahawa usaha membina Ummah Fadhilah perlu dijadikan agenda bersama semua pihak sekiranya masyarakat mahu melihat institusi keluarga kembali berfungsi sebagai benteng utama dalam membina masa depan negara yang lebih sejahtera dan berdaya tahan.Antara wakil kepimpinan masyarakat yang hadir libat urus ini ialah Penghulu Mukim Dengkil, AJK Majlis Perbandaran Sepang, AJK Masjid Syakirin, AJK Surau Al-Muhajirin, AJK Taman Jenderam Suria, AJK Taman Desa Sinaran, AJK Taman Cengkih, AJK Surau Al-Hidayah.


