Kefahaman umum takdir dan kaitannya dengan akidah muslim

TAKDIR boleh dilihat dalam dua sisi :

1. Sisi ilmu Allah SWT yang mendahului segala perkara
2. Sisi undang-undang dan peraturan yang Allah tetapkan di atas muka bumi ini dan alam semesta ini.

Manusia disuruh untuk memahami yang kedua, ditaklifkan untuk berusaha dan beramal dengan kefahaman tersebut serta akan dihisab pada sudut itu.

Manusia pula disuruh untuk tidak mempersoal yang pertama, apatah lagi mendalami kerana persoalan sisi pertama hanya sia-sia yang akan merosakkan fungsi akal itu sendiri, selain ianya adalah kawasan larangan seolah-olah tajassus terhadap ilmu Allah itu sendiri.

Dalam mengharungi kehidupan, kita diajar pada sudut kedua berbagai formula, kaedah asbab dan musabbab, serta apa-apa yang boleh dirasai oleh pancaindera sebagai satu perkara yang boleh membawa kepada kebaikan dan keburukan.

Pada sudut itu, manusia akan dihisab dan diberikan ganjaran atau balasan.

Namun apa kaitannya pula pada sisi pertama ?

Sisi pertama bertujuan untuk memberitahu manusia, bahawa di sebalik undang-undang dan asbab musabbab, ada padanya kemahuan Allah yang mutlak, ilmu Allah yang azali, yang meliputi apa yang kita tahu dan apa yang kita tak tahu.

Ia berfungsi menyuntik deria fitrah kehambaan untuk sentiasa tunduk dan akur, bahawa di sana ada Tuhan yang mencipta, mengatur dan mengawal, seluruh kejadian alam ini, tanpa sebarang kecacatan dan ketidakseimbangan.

Atas sebab itu kebanyakan mukjizat para anbiya’ datang dari sudut luar kebiasaan, agar manusia akur, setinggi mana pun ilmu mereka, mereka tidak akan capai tahap mencipta mukjizat, yang hanya mampu didatangkan oleh Zat yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Hakikatnya kedua-dua sisi adalah satu rantaian bersepadu, bahawa sisi kedua adalah subset kepada sisi pertama, cuma sisi kedua adalah ruang yang Tuhan berikan sedikit kefahaman dan kemampuan untuk ikhtiar, agar manusia boleh berfikir dan boleh diuji, siapakah yang paling baik amalannya.

Salah faham yang timbul ?

Salah faham yang timbul bermula apabila kita masuk ke sisi pertama, tanpa melihat sisi kedua. Lalu kita mendakwa bahawa kitalah yang paling beriman dengan qadha’ qadar, sedangkan kita yang paling jahil.

Atau pun salah faham juga boleh timbul apabila kita terlalu yakin bahawa kita yang menguasai takdir kerana kita memahami undang-undang alam, sedangkan kita lupa bahawa itu semua tertakluk di bawah ketentuan dan kehendak Allah SWT yang mutlak, bukan kehendak kita.

Kefahaman yang harmoni boleh terbentuk apabila kita melihat setiap sudut pada tempatnya, dan mengikat kefahaman kita dengan kefahaman dan pengamalan para anbiya’ AS dan sahabat RA, mereka sentiasa melihat sisi takdir pada kedua-dua sisi, dan mereka menempuhi kehidupan dengan penuh keimanan dan ketaqwaan.

Wallahua’lam bissawaab.

Ustaz Syamil Esa
Ahli Majlis Ulama Isma (ISMA)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat