KAJANG, 13 Julai – Kem Smart Solat anjuran KRIM dengan kerjasama Surau Al-Furqan, Taman Sekamat telah berlangsung dengan jayanya, menghimpunkan seramai 100 orang yang terdiri daripada peserta, fasilitator, jawatankuasa dan sukarelawan.
Program ini bertujuan memperkukuh kefahaman serta penghayatan ibadah solat sebagai tunjang pembinaan sahsiah, kekuatan jiwa dan pegangan hidup remaja. Solat bukan sekadar kewajipan, bahkan merupakan asas pembentukan keperibadian Muslim yang berdisiplin, berakhlak mulia dan sentiasa bergantung kepada Allah SWT dalam menghadapi cabaran kehidupan.
Menurut Pengarah Kem Smart Solat, Mohd Muinuddin bin Mohd.Shakib, program ini selari dengan aspirasi membina Ummah Fadhilah, iaitu pembentukan generasi yang seimbang dari aspek akidah, ibadah, akhlak dan kepimpinan.
“ISMA menekankan pentingnya pelaburan serius dalam pembangunan generasi mujahid yang hidupnya terikat dengan Islam,” kata Muinuddin sejurus selepas program.
Tambahan lagi, melalui penguasaan solat yang sempurna, para peserta di didik agar memiliki jati diri yang kukuh, kekuatan untuk menegakkan kebenaran, bertanggungjawab terhadap keluarga dan masyarakat serta mampu menjadi ejen perubahan yang menyumbang kepada pembinaan komuniti.
Sepanjang program, para peserta mengikuti pelbagai pengisian berbentuk teori dan praktikal, termasuk pemantapan bacaan dan pergerakan solat, penghayatan makna bacaan, aktiviti pembinaan karakter serta sesi motivasi yang menekankan hubungan antara kualiti solat dengan pembentukan akhlak dan kecemerlangan diri. Pendekatan interaktif yang digunakan berjaya meningkatkan keyakinan peserta untuk melaksanakan ibadah solat dengan lebih sempurna serta menghayati peranannya sebagai asas kehidupan seorang Muslim.
Pengerusi Surau Al-Furqan, Tuan Haji A. Ismail bin Idris, menzahirkan penghargaan atas kerjasama erat bersama KRIM dalam menjayakan program tersebut. Beliau turut menyatakan hasrat agar kolaborasi strategik ini dapat diteruskan bagi memperkasa program pembangunan remaja kariah, sekali gus melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing sebagai asas kepada pembentukan Ummah Fadhilah.


