Kemana hijrahmu kan bermuara?

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah atas segala anugerah kurniaan yang tidak terhitung. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad saw, keluarga, sahabat dan orang-orang soleh yang mengikut jejak langkah Baginda hingga hari pengakhiran.

Peluang bernafas hingga ke hari ini menjadi ruang untuk diri bermuhasabah dan mengambil iktibar dari suka duka perjalanan hidup. Allah swt mengizinkan untuk menyusuri setiap lorong perjalanan agar satu hari nanti menjadi nilaian pengalaman yang cukup berharga. Lorong jalannya adalah berepisod dan ada kanvas yang diri sendiri perlu corakkan.

Adapun dalam setiap perjalanan itu pernah dilalui dengan kanvas yang coraknya hitam. Saat itu dirasakan hitam itulah cantik, menawan dan yang benar. Sedangkan waktu itu, hidup tidak tentu arah. Apatah lagi tanggungjawab sebagai hamba diambil mudah.

Namun, Allah tidak membiarkan dirimu selamanya begitu. Allah hadirkan beberapa perkara untuk kau putih dan corakkan. Sedikit demi sedikit, warna itu terpalit terkena kanvas mu. Menapaki terus kehidupan, tanpa disedari warna kanvas pun berubah. Dari hitam ke yang lebih indah.

Ketika itu, hati mulai terketuk, perlahan ia terbuka untuk menerima. Membuka ruang penerimaan atas segala sesuatu yang kau ingkari dulu. Perlahan, satu demi satu, kau mulai memperbaiki yang salah.

Dan, kau berhijrah…

Hijrah, sebuah kata yang takkan ada guna jika tidak mengindahkan niat serta tujuanmu. Hijrah, bukan cuma sebatas kau melabuhkan hijab hingga menutupi dada, bukan sekadar jubah yang kau longgarkan menyelutupi tubuh, bukan hanya menjaga pandangan terhadap lawan jenis. Sesungguhnya makna hijrah jelas lebih dari itu.

Maksud hadis,

“Orang yang sebenar-benar hijrah ialah orang yang berhijrah meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah (daripada melakukannya)” (Riwayat al-Bukhari, Abu Daud dan al-Nasaie).

Konsep hijrah bukan sahaja dari perspektif perpindahan tempat secara lahiriah, bukan sekadar secara zahirnya berubah, tetapi juga dalaman hati perlu kau hijrahkan bersama.

Kehidupan selepas hijrah tidak lagi seperti dulu. Dan seharusnya kau lebih mendalami hakikat jiwa orang yang beriman dalam setiap amalnya. Bukan sekadar hanya menjaga nama agar kelihatan baik sahaja di hadapan manusia.

Alangkah indahnya apabila hijrah yang sedang diperjuangkan ini, dimuarakan pada satu tujuan mulia; yakni untuk menggapai redha Allah swt. Semoga di akhir nanti ianya akan berlabuh di hadapan pintu syurga.

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ وَطَاعَتِكَ

“Wahai yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu dan ketaatan kepada-Mu” (Riwayat at-Tirmizi dan Ibn Majah).

 Semoga segala amal diterima Allah.

Ps : Saat ini menulis agar menjadi wadah untuk selalu di dengar. Bukan soal untuk didengari oleh orang lain, tetapi didengar oleh diri sendiri, sebagai sebuah refleksi diri.

Dr. Hjh. Nashrah Hani Jamadon
Aktivis ISMA Bangi

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat