Kemudahan PdPR di PPR : Komuniti Setempat Boleh Ambil Peranan

Berlegar-legar di media sosial sejak kebelakangan ini mengenai isu Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang telah bermula sejak 20 Januari 2021 yang lalu ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Namun, terdapat beberapa isu yang timbul terutamanya berkaitan kekurangan gajet dan kemudahan infrastruktur internet yang kurang memuaskan. Tahniah diucapkan kepada pihak-pihak yang telah memainkan peranan dengan memberi bantuan gajet dan komputer riba percuma kepada mereka yang memerlukan. Usaha ini adalah satu usaha murni yang harus dijadikan contoh.

Namun begitu, di lokaliti perumahan flat kos rendah, ada beberapa perkara yang perlu kita lihat dalam kerangka yang lebih luas. Saya sendiri mendengar keluhan ibu bapa yang mempunyai masalah gajet dan jaringan internet di perumahan flat kos rendah. Bilangan anak yang ramai, kos tambahan pembelian gajet untuk anak-anak serta bayaran komitmen internet bulanan pasti menjadi bebanan buat mereka. Tambahan pula, kawasan blok-blok perumahan kos rendah selalu mengalami masalah capaian internet yang kurang memuaskan (saya sendiri mengalaminya).

Dalam menghadapi situasi ini, terdapat beberapa peranan yang boleh dimainkan oleh komuniti setempat. Antaranya:

  1. Menyediakan bilik/ruangan sehenti untuk para pelajar di blok mereka, terutamanya kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan besar (SPM, STPM, dan lain-lain). Kebiasaannya, bahagian bawah blok-blok mereka, ada bilik/ruang yang tidak digunakan. Ruang tersebut boleh digunakan sebaiknya untuk tujuan ini.
  2. Menyediakan fasiliti kemudahan internet serta kemudahan-kemudahan tambahan yang dirasakan sesuai untuk aktiviti pembelajaran.
  3. Pembelajaran dilaksanakan secara berkumpulan, dipantau dan dikawal oleh komuniti blok tersebut. Mengenai SOP, perkara tersebut boleh dibincangkan dengan pihak yang berkenaan terutamanya SOP yang berkaitan dengan perlaksanaan PKP.

Saya yakin peranan komuniti amat penting. Saya sudah berjumpa dengan komuniti di beberapa blok perumahan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan kos rendah yang mempunyai pengurusan blok yang cemerlang untuk berbincang tentang cadangan ini. Jika model ini boleh dijayakan, saya yakin ianya boleh dijadikan contoh kepada pengurusan blok-blok perumahan kos rendah yang lain.

Sehingga kini, pihak Bangun Bersama Kuala Lumpur (BBKL) telah membuat beberapa pertemuan dengan pihak pengurusan PPR seperti PPR Kerinchi untuk menyediakan sebuah bilik di bahagian bawah blok perumahan sebagai pusat sehenti. Kami amat mengalu-alukan pihak yang mungkin boleh bekerjasama untuk merealisasikan hasrat komuniti ini.

Tidak lupa juga solusi yang lebih bersifat kolektif perlu dilaksanakan oleh kerajaan kerana penyelesaian sekarang lebih bersifat individualistik. Di kawasan-kawasan perumahan kos rendah yang padat, kita perlu solusi yang bersifat kolektif untuk dimanfaatkan bersama oleh golongan sasaran.

Saya berharap agar kita dapat sama-sama memikirkan solusi terbaik untuk membantu para pelajar menghadapi cabaran pembelajaran atas talian ini. Usaha setiap daripada ahli komuniti secara tersusun pasti akan memberi impak kepada pembentukan masyarakat yang lebih beragenda dan bertanggungjawab.

Wallahua’lam.

Ahmad Raher Osman

Pengerusi Bangun Bersama Kuala Lumpur

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat