Telah banyak pihak yang berbicara tentang bahaya dan kerosakan yang berlaku disebabkan arak.
Pada tahun 2020 sahaja, telah banyak jiwa yang menjadi mangsa korban disebabkan memandu dalam pengaruh alkohol. Itu belum lagi kerosakan sosial lain.
Sejak tahun 2017 lagi, Persatuan Pengamal Perubatan Muslim (I-Medik) telah menulis secara komprehensif kerugian dan kerosakan yang berlaku disebabkan alkohol.
Netizen juga telah membandingkan kandungan alkohol yang dibenarkan (BAC) bagi negara kita ialah tinggi iaitu 0.08% berbanding negara lain hanya 0.02% seperti di China, Sweden dan Norway. Hukuman bagi pesalah di luar negara juga jauh lebih berat.
Hari ini Kementerian Pengangkutan membuat kaji selidik awam wajarkah undang-undang berkaitan arak diperketatkan? Walaupun nampak seolah-olah kerajaan mula mendengar tekanan dari rakyat, awam masih meragui sejauh mana kaji selidik tersebut akan dilaksanakan.
Apakah yang menghalang kerajaan untuk haramkan arak?
Sejak lebih 30 tahun industri arak ini bertapak dalam negara, tiada usaha kerajaan untuk menghentikan sahaja industri arak. Yang ada hanyalah suara retorik pembangkang dari luar kerajaan dan tekanan-tekanan dari umat Islam.
Ahli parlimen yang dulunya lantang membangkang dari mana-mana parti politik sekalipun, tidak kedengaran suara mereka apabila menjadi sebahagian blok kerajaan.
Persoalannya, mengapa? Kerja membangkang lebih senang?
Dari sudut sumbangan industri arak dalam ekonomi negara, data dari Confederation of Malaysian Brewers Berhad (CMBB) mengatakan RM2.2 billion setahun disumbangkan dalam bentuk cukai pendapatan.
Itu belum lagi peluang pekerjaan yang disediakan dan sumbangan sosial yang peruntukkan oleh syarikat-syarikat arak dalam negara.
Adakah RM2.2 ~ RM3 billion ini satu jumlah yang sangat besar sehingga akan lumpuh ekonomi negara jika diharamkan sekarang?
Sudah tentu tidak.
Sebagai perbandingan mudah, kerajaan memperuntukkan RM30 bilion untuk Kementerian Kesihatan (KKM) yang mana kira-kira RM3bil adalah untuk kes-kes kronik termasuk penyakit yang disebabkan oleh penggunaan alkohol.
Ternyata RM2bil itu masih kecil. Bagaimana pula dengan nilai ratusan kematian jiwa tidak berdosa? Berapa billion RM?
Jika nilai itu tidak begitu besar bagi negara, mungkinkah besar nilainya bagi sesetengah individu atau parti politik berkepentingan? Samada secara langsung atau tidak langsung?
Ataupun mungkin sokongan politik yang diharapkan menyebabkan tergadainya prinsip? Walaupun kononnya partinya sentiasa mementingkan agama dan bangsa?
Rakyat sudah penat dengan retorika. Perlu ada tindakan tegas dari pihak Kerajaan yang memerintah.
Ekonomi bukanlah faktor utama yang menentukan polisi berkaitan penggunaan arak. Negara pernah lalui zaman kemelesetan ekonomi yang lebih teruk dan masih boleh bertahan.
Diharapkan kerajaan PN mampu buktikan sesuatu yang lebih baik dalam menangani isu ini.
Mohd Noor Azib Asmangi
JKP Isma