Peristiwa seorang ayah yang menengking anak sebentar tadi sangatlah merobek jiwa saya. Anak juga punya perasaan seperti mana ibu bapa.
Ibu bapa seharusnya menjaga emosi anak seperti kita juga yang ingin dilayani dengan baik oleh orang sekeliling.
Ibu bapa perlu mendidik anak dengan emosi yang baik supaya sampai ke jiwa mereka dan seterusnya menjadi ikutan dalam pelbagai perkara.
Berikut ialah perbandingan antara IQ dan EQ seseorang.
IQ ialah tahap untuk mengukur kecerdasan otak, seperti menyelesaikan masalah, pemikiran logik, kebolehan matematik, dan kemahiran memproses maklumat. Manakala EQ pula ialah tahap mengukur kecerdasan emosi, membimbing membuat keputusan, reaksi dengan persekitaran dan sosial. Maka analoginya ialah IQ untuk lihat kecerdasan otak dan EQ adalah bagaimana untuk menghasilkan tingkah laku yang baik.
Mengapa penting menjaga emosi? Mengikut kajian oleh pakar psikologi, Daniel Goleman, beliau menganggarkan bahawa IQ membentuk paling banyak hanya 20% faktor yang menentukan kejayaan hidup. Selebihnya dibentuk oleh faktor lain, seperti EQ, kekayaan, tahap pendidikan keluarga dan nasib.
Kita biasa mendengar ayat ini, “kenapalah tak dengar kata ya? Kenapa tak faham bahasa?” Hal ini tidak lain adalah disebabkan oleh emosi ibu bapa ketika mendidik bukan dalam keadaan tenang tetapi marah, penat, geram dan emosi yang negatif yang lain.
Oleh itu, tindakan dan emosi sangat penting untuk melahirkan anak-anak yang sihat emosi. Bila emosi dalam keadaan baik, tahap intelektual anak-anak juga mudah untuk menyerap dengan baik dan lebih fokus. Sebagai contoh, guru-guru juga melaporkan bahawa pelajar yang mempunyai EQ tinggi lebih bekerjasama dan menjadi pemimpin yang lebih baik di dalam bilik darjah.
Dalam Islam, hadis berkaitan emosi juga ada dinyatakan oleh Rasulullah SAW.
Daripada Abu Hurairah r.a.: Bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW: Berikan daku wasiat. Baginda bersabda: “Janganlah engkau marah.” Lelaki itu mengulangi soalan itu beberapa kali. Baginda tetap bersabda: “Janganlah engkau marah.”
(Hadis Bukhari)
Begitulah pentingnya menjaga sebuah emosi. Didik dengan iman bukan melepaskan dari nafsu.
Mendidik dengan emosi yang baik melahirkan contoh teladan yang baik juga pada anak-anak.
#jagaEmosi
#belajartarbiyatulAulad