- Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) memandang serius keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menggugurkan syarat pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti Bumiputera bagi syarikat sendirian berhad yang mengendalikan institusi pendidikan swasta (IPS) tertentu. Keputusan sebesar ini perlu mengambil kira agenda pengupayaan Bumiputera yang telah menjadi sebahagian daripada dasar pembangunan negara sejak sebelum kemerdekaan.
- ISMA mengambil perhatian bahawa, ketetapan 30 peratus ini telah terkandung dalam dasar IPS sejak tahun 2006. Setelah hampir dua dekad dasar ini menjadi sebahagian daripada mekanisme penyertaan Bumiputera dalam industri pendidikan negara, maka penggugurannya menuntut penjelasan segera daripada kerajaan. Apakah dasar yang akan menggantikannya dan bagaimana dasar tersebut akan memperkukuh kedudukan Bumiputera dalam sektor pendidikan?
- ISMA mengingatkan KPM agar tidak melupakan sejarah panjang pengupayaan pendidikan Bumiputera dalam pembentukan negara. Agenda ini lahir daripada keperluan menangani ketidakseimbangan sosioekonomi antara kaum yang telah lama wujud. Sebarang pengunduran daripada agenda ini berisiko menghakis keupayaan Bumiputera dan melebarkan kembali jurang yang selama ini cuba dirapatkan.
- ISMA menegaskan bahawa kerajaan perlu mengemukakan dasar baharu yang lebih kuat sekiranya mekanisme 30 peratus mahu dimansuhkan. Pengupayaan Bumiputera perlu diterjemahkan kepada kemampuan pengusaha membina institusi pendidikan yang kukuh dan mampan. Akses kepada pembiayaan juga perlu diperluas dan dipermudah agar lebih ramai pengusaha Bumiputera mampu berkembang dalam industri pendidikan. Matlamatnya mesti jelas: lebih banyak institusi pendidikan yang kukuh berada dalam pemilikan Bumiputera.
- ISMA mendesak KPM membentangkan hala tuju pengupayaan Bumiputera selepas pengguguran syarat ini. Sejarah negara menunjukkan bahawa kemajuan Bumiputera melalui pendidikan dibina melalui dasar dan polisi yang dirancang secara sedar selama beberapa generasi. Sebarang perubahan dasar pada hari ini mesti memastikan agenda pengupayaan Bumiputera meningkat ke tahap yang lebih tinggi. KPM jangan melupakan sejarah ketika merangka masa hadapan pendidikan negara. Pengupayaan Bumiputera mesti terus diperkukuh demi kesejahteraan dan masa depan agama, bangsa dan negara.
“Ummah Fadhilah Tonggak Peradaban”
Ustaz Shuhaib ar-Rumy bin Selamat
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
22 September 2026

