Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Kuala Lumpur telah selesai membuat satu laporan polis ke atas Pengerusi SUHAKAM yang telah mengeluarkan satu kenyataan untuk menggesa kerajaan Malaysia meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Isu ratifikasi ICERD bukan isu baharu. Bahkan penentangan terhadap meratifkasi ICERD telah menyaksikan jutaan rakyat Malaysia berhimpun di ibu kota Kuala Lumpur pada tarikh keramat 8 Disember 2018. Ini menatijahkan kerajaan ketika itu membuat satu kenyataan penegasan untuk tidak meneruskan hasrat meratifikasi ICERD.
Kini suara-suara sumbang telah kembali kedengaran untuk meneruskan agenda meratifikasi ICERD. Kenyataan Pengerusi SUHAKAM pada 9 Ogos 2024 yang lalu, dilihat sumbang dalam menggesa kerajaan untuk meratifikasi ICERD dalam masa terdekat. Majoriti pengamal undang-undang dan pakar perlembagaan percaya bahawa apabila ICERD diratifikasi, maka akan wujud banyak pertentangan terhadap intipati Perlembagaan Persekutuan.
Kesannya amat besar dan bakal membuka banyak ruang kepada pihak-pihak tertentu untuk mencabar keabsahan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan sekaligus akan memberi kesan ketara kepada Orang Asli, Melayu Islam, serta bumiputera Sabah dan Sarawak.
Sehubungan dengan itu, ISMA Kuala Lumpur menyeru seluruh rakyat Malaysia agar tetap teguh berpendirian menolak ratifikasi ICERD dan mendesak pihak berkepentingan agar menilai semula isu ini dengan lebih mendalam demi memelihara maslahah rakyat Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat dan berperlembagaan.
Sekian.
Ahmad Firdaus Adzme,
Yang Dipertua
ISMA Kuala Lumpur