1. Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menolak keras kenyataan Ronnie Liu bahawa Malaysia “tidak akan dan tidak patut menjadi negara Islam”. Kenyataan ini menyentuh persoalan asas mengenai identiti, sejarah dan teras negara yang telah terbentuk jauh lebih awal daripada kelahiran Malaysia moden.
2. Malaysia memiliki susur galur sejarah serta akar Melayu-Islam yang kukuh dan jelas. Islam telah membentuk asas pemerintahan, institusi Kesultanan Melayu, undang-undang, adat, bahasa dan kehidupan masyarakat di tanah bertuah ini selama berabad-abad lamanya. Perlembagaan Persekutuan meneruskan hakikat tersebut dengan menetapkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, mengiktiraf kedudukan Raja-raja Melayu dalam susunan kenegaraan serta menghubungkan takrif Melayu dengan agama Islam. Semua ini memperlihatkan bahawa Islam mempunyai kedudukan yang mendasar dalam sejarah, identiti dan susunan kenegaraan Malaysia.
3. ISMA berpandangan bahawa usaha menghadkan peranan Islam dalam menentukan arah negara merupakan percubaan mencorakkan semula Malaysia menurut kerangka yang asing daripada sejarah dan jati dirinya. Islam mempunyai akar yang mendalam dalam sejarah negara, kedudukan yang jelas dalam Perlembagaan serta didukung oleh umat Islam sebagai majoriti rakyat. Masa depan Malaysia mesti dibina dengan memperkukuhkan asas ini serta memastikan identiti yang telah membentuk negara terus dipertahankan dan diperkasakan.
4. ISMA memberi amaran terhadap sebarang usaha membentuk naratif baharu yang secara beransur-ansur mencairkan identiti Melayu-Islam dalam kehidupan bernegara. Apabila Islam hanya mahu diletakkan dalam lingkungan urusan peribadi, adat dan pentadbiran agama sahaja sedangkan dasar, pendidikan, budaya, ekonomi serta hala tuju masyarakat dipisahkan daripada panduan Islam, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan akhirnya akan kehilangan makna substantifnya.
5. Dalam gagasan ISMA, Melayu-Islam merupakan umat teras yang telah memainkan peranan penting dalam perjalanan sejarah, identiti dan susunan kenegaraan Malaysia. Kedudukan sebagai umat teras membawa tanggungjawab untuk memimpin dengan amanah, memelihara keharmonian, menegakkan keadilan serta membawa kesejahteraan kepada seluruh rakyat. Kepelbagaian Malaysia mesti dibina di atas teras peradaban yang jelas, dengan hak dan keadilan seluruh rakyat terus dipelihara seiring dengan aspirasi umat Melayu-Islam dalam mencorakkan masa depan negara.
6. Malaysia tidak memerlukan acuan baharu yang memutuskan negara daripada sejarah dan jati dirinya. ISMA menolak sebarang percubaan untuk mencorakkan Malaysia menurut kerangka lain yang akhirnya menjadikan Islam sekadar simbol serta menghakis kedudukan Melayu-Islam yang telah menjadi sebahagian daripada identiti negara sejak sekian lama.
7. ISMA akan terus berdiri teguh mempertahankan kedudukan Islam serta memperjuangkan masa depan Malaysia yang dibina berasaskan akar sejarah, jati diri dan teras peradabannya. Malaysia mempunyai identiti yang tersendiri, dan wajib dipertahankan.
“Ummah Fadhilah Tonggak Peradaban”
Ustaz Shuhaib Ar-Rumy Selamat
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
21 Ogos 2026


