1. Ikatan Muslim Malaysia (ISMA) telah melancarkan Kempen “Bapa Qawwam Lambang Pengorbanan” bersempena bulan Zulhijjah dan Hari Bapa yang jatuh pada bulan Jun.
2. Statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Negara menunjukkan peningkatan kes penceraian sebanyak 60 ribu kes pada tahun 2023, berbanding 43,934 kes direkodkan pada tahun 2022. Satu lagi kajian yang dibuat pada 2023 menunjukkan faktor utama penceraian awal perkahwinan adalah gangguan media sosial, masalah seksualiti dan curang, kedua pengabaian tanggungjawab, berakhlak buruk dan lemah dalam komunikasi, ketiga lemah pegangan agama, kemudian tiada persefahaman dan pengabaian nafkah serta kelemahan pengurusan kewangan.
3. Laporan Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman pula mengesahkan bahawa bapa kandung menjadi pelaku tertinggi direkodkan menyumbang kepada kes jenayah sumbang mahram dalam negara ini sejak tahun 2019 hingga Februari 2021 iaitu sebanyak 169 kes. Jumlah itu diikuti oleh bapa tiri dengan 155 kes, bapa saudara, 100 kes dan abang kandung, 55 kes.
4. Dapatan yang lebih mengejutkan dari laporan akhbar tempatan mendedahkan suami gay merupakan penyumbang kepada kes penceraian, pasangan berpisah membabitkan suami gay meningkat 40 kes pada suku pertama 2022.
5. Melihat kepada data dan statistik yang ada, ISMA percaya pentingnya untuk menjalankan Kempen Bapa Qawwam bagi mengembalikan sifat Qawwam dalam diri suami dan bapa muslim untuk menyelesaikan masalah kepincangan institusi kekeluargaan seperti perceraian akibat curang atau pihak ketiga, culas membayar nafkah keluarga, kegagalan suami memimpin keluarga, kes-kes sumbang mahram yang meningkat, hilangnya jatidiri seorang bapa serta mengekang suami terlibat dengan gejala songsang , keganasan rumahtangga, masalah sosial yang berleluasa berpunca daripada bapa yang tidak memainkan peranan yang ditetapkan dalam Islam.
6. Bagi pengetahuan semua Qawwam yang dimaksudkan dalam kempen ini adalah seorang suami atau bapa sebagai pemimpin keluarga, pemberi nafkah, dan bertindak mendidik isteri dan keluarga.
7. Antara ciri-ciri bapa Qawwam seperti yang disebut dalam surah An-Nisa’ ayat 34 adalah, pemimpin berwibawa dalam mengetuai keluarga, pelindung keluarga dari bahaya dunia & akhirat, pemberi nafkah kepada anak dan isteri dan pendidik keluarga.
8. Objektif kempen ini sebagai langkah untuk menyampaikan mesej dan mewujudkan kesedaran kepada masyarakat, terutamanya golongan suami atau bapa bahawa setiap daripada mereka perlu ada sifat Qawwam dalam diri. Selain daripada itu, menyebarkan kefahaman tentang makna Qawwam dan kepentingan bapa Qawwam dalam pembentukan masyarakat yang unggul. Kemudian menyampaikan mesej bahawa berusaha menjadi Qawwam juga merupakan satu pengorbanan seorang bapa buat keluarga dan masyarakat.
9. Kempen Bapa Qawwam yang akan dijalankan sepanjang bulan Zulhijjah sehingga awal Muharram (12 Jun 2024 – 20 Julai 2024) ini mengambil peluang sempena sambutan Hari Raya Aidiladha yang mengangkat tema perjuangan dan pengorbanan Nabi Ibrahim a. s, serta keluarga yang dipimpinnya, untuk dicontohi dan dijadikan qudwah atas ketaatan dan kesabaran keluarga tersebut dalam melaksanakan perintah Allah S.W.T. Selain menjadi pemimpin dan memberi nafkah kepada keluarga, suami atau bapa berperanan dalam membentuk akidah dan membina akhlak keluarga dengan sejahtera. Dalam konteks bapa muslim hari ini, perlu faham bahawa menjadi Qawwam juga adalah satu bentuk ketaatan kepada Allah S.W.T dan kualiti tersebut tidak datang secara automatik, tetapi menuntut kesabaran dan pengorbanan. Kemudian, diikuti pula dengan Awal Muharram yang mengangkat tema hijrah dan perubahan dalam diri.
10. Antara aktiviti yang akan dijalankan seperti edaran risalah Jumaat kepada 14,000 bapa di seluruh Malaysia yang melibatkan 46 buah cawangan ISMA, bagi menguatkan lagi penyampaian makna sebenar bapa Qawwam. Jumlah 14,000 ini adalah simbolik kepada kesyahidan anak-anak di Gaza sehingga kini sejak 7 Oktober 2024. Kemudia ceramah di masjid dan surau yang akan mengangkat tema qudwah Nabi Ibrahim A.S sebagai bapa Qawwam, di samping menyampaikan mesej kepentingan sifat Qawwam pada seorang bapa dalam menjaga kestabilan keluarga dan masyarakat yang unggul.
11. Kempen-kempen di media sosial seperti kisah-kisah inspirasi bapa, perkongsian tips yang membawa mesej “Bapa Qawwam Lambang Pengorbanan”. Penyampaian mesej Qawwam melalui Iftar kejiranan di komuniti cawangan seluruh negara, di samping menghidupkan amalan 10 Awal Zulhijjah. Kemudian program Laman Nazim yang khusus melibatkan ayah dan anak, aktiviti berkelah, beriadah atau bersukan yang bertemakan “Bapaku Heroku”.
12. ISMA juga mengalu-alukan kerjasama dengan mana-mana badan kerajaan, swasta, komuniti dan individu bagi menjayakan kempen ini.
13. Akhir sekali ISMA berpendapat bagi membina kepimpinan ummah dan masyarakat yang unggul haruslah bermula dengan pembinaan keluarga yang unggul yang mempunyai pemimpin keluarga yang Qawwam.
Ustaz Muhammad Shahier bin Sa’min
Naib Presiden ISMA
12 Jun 2024